Belajar dari Indonesia merdekakan media


Radzi Razak

MINGGU ini merupakan ulang tahun ke-73 negara jiran paling akrab kita, Indonesia merdeka.

Selain luhur bahasa dan budaya yang berkait dengan Semenanjung Malaysia dan berkongsi sempadan di Pulau Borneo, sejarah antara dua negara turut mempunyai hubung kait sama ada dari segi sosial mahupun politik.

Bekas Pengerusi Pusat Kajian Asia Tenggara Universiti Murdoch, David T Hill dalam bukunya Pers di Orde Baru (Press in the New Order Indonesia) serta Indonesia Journalism and Politics dengan terperinci membedah kekangan Soeharto terhadap media di republik itu. Beliau malah pernah meminta media Malaysia sendiri pada 1992 untuk meminta maaf kerana menyiarkan berita yang memburukkan Indonesia.

Pada 1998, rakyat Indonesia berjaya menumbangkan rejim Orde Baru pimpinan Soeharto yang antara lain membenam kebebasan bersuara dan media rakyat negara itu selepas mengambil kuasa pada tahun 1966.

Orde Baru merencanakan bahawa media Indonesia, yang disebut sebagai “pers Pancasila”, haruslah sentiasa memayungi dan menjunjung pemerintah, tanpa mengira apa pun berlaku, dan melepaskan fungsi sebagai suara dan pemakluman nurani rakyat.

Kewujudan Departmen Penerangan dan kawalan ketat ke atas Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) serta Dewan Pers – organisasi payung wartawan negara itu, menyebabkan penindasan ke atas mereka yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan media dibungkam habis-habisan.

Kewujudan Aliansi Jurnalis Independen (AJI) pada 1994 yang ditunjangi wartawan dan aktivis dari media yang dihukum kerana menyiarkan berita tidak disenangi regim Soeharto seperti Tempo, Kompas dan lain-lain dianggap duri dalam daging yang perlu dicabut keluar demi kelangsungan kuasa politik kerajaan.

Sekumpulan wartawan termasuk pengasas AJI, Ahmad Taufik turut disumbatkan ke dalam penjara kerana menjalankan aktivisme perikatan wartawan itu.

Bagaimanapun selepas 1998, sikap rakyat berubah selepas adanya media yang terbuka. Rakyat mula menyanjungi media yang bebas dan tidak dikawal suaranya oleh pemerintah.

Presiden Indonesia selepas Soeharto, BJ Habibie turut mengumumkan undang-undang baru termasuk Undang-Undang Nombor 40 Tahun 1999 tentang media yang menjamin pekerjaan, tidak memberhentikan penerbitan, tiada tapisan dan larangan penyiaran serta campur tangan kerajaan.

Undang-undang itu turut mengangkat kembali Dewan Pers sebagai lembaga bebas bagi memantau media di republik itu.

Selepas reformasi

Selepas 20 tahun berlalu, media Indonesia telah pun berevolusi dengan pesat dan mempunyai penerbitan bertaraf dunia seperti Tempo dan menjadi pejabat biro media antarabangsa lain.

Semua ini berjaya dilaksanakan dalam tempo tiga tahun selepas tumbangnya Orde Baru. Kebebasan kemudian menjadi anutan penerbitan, wartawan dan pekerja berkaitan media di negara itu.

Bagaimana pula dengan Malaysia, negara yang rakyatnya mengaku lebih moden, lebih terbuka, lebih maju dan lebih progresif? Kesempatan Malaysia baharu ini perlu diambil bagi mengukuhkan lagi kebebasan media dan bersuara di negara ini.

Yang paling utama, media di Malaysia haruslah melihat semula kebergantungan media di bawah kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penerangan.

Tuntutan mengenai kebebasan media di negara ini haruslah dipaksikan di bawah kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang sebelum ini telah pun dijamin oleh setiap perdana menteri yang mengangkat sumpah sejak 1957.

Bagaimanapun, masalah paling besar di Malaysia ialah para wartawan dan pekerja medianya yang jarang mahu bekerjasama menuntut kebebasan media.

Namun ia bukanlah mustahil untuk berlaku. Wartawan-wartawan di negara ini beberapa kali telah bersama selepas isu besar melanda mereka.

Antaranya, selepas beberapa wartawan dikasari dalam perhimpunan Bersih 3 pada 2012, penggantungan akhbar The Heat pada 2014, penggantungan The Malaysian Insider dan The Edge pada 2015 serta penangkapan lima wartawan portal berikutan laporan terhadap 1MDB juga pada tahun yang sama.

Semua wartawan tidak kira dari meja seni, jenayah, hiburan, ekonomi ataupun yang bekerja sendiri perlu bersama mencari titik persamaan dan menghentikan beza membeza mengikut kelas dan darjat yang tidak sepatutnya wujud.

Pada masa ini, tiada perikatan atau persatuan besar wartawan pelbagai agensi yang boleh diharapkan. Organisasi kewartawanan terbesar negara, Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) masih tidak inklusif kerana hanya mewakili segelintir wartawan di akhbar dan lebih memberi fokus soal berkaitan gaji dan bonus, bukannya kebebasan media itu sendiri.

Perikatan besar wartawan pelbagai agensi dan peringkat ini haruslah berlaku terlebih dahulu untuk menyatukan suara bagi tuntutan dan kelangsungan usaha memartabatkan peranan wartawan dalam masyarakat negara ini.

Sekiranya ia berjaya dicapai, itulah penegakan sebenar semangat kebebasan media yang disemat oleh semua yang memegang tinta (atau telefon pintar) dan menulis untuk hidup.

Apakah wartawan Malaysia masih berbangga untuk menjadi penulis paling cepat dalam sidang akhbar tatkala wartawan negara lain menulis perkara yang berjaya mengubah negara menjadi lebih baik? β€“ 18 Ogos, 2018.

* Wartawan bebas yang sentiasa cuba bebas. Aktivis Media Merdeka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen