APABILA kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bermula hari ini, penduduknya berharap pemimpin dan parti politik yang datang berkempen di kawasan itu akan memberi perhatian kepada masalah sosial yang menghimpit mereka.
Mereka tidak mahu pemimpin dan parti politik datang berkempen atas isu perkauman atau menjanjikan pembangunan. Bagi mereka, dua perkara itu bukan isu yang mustahak sekarang.
“Malam-malam, kalau rajin boleh pergi ke satu kedai makanan Thailand di kawasan tempat parkir kereta flat, di sana ramai orang duduk melepak, sambil-sambil minum ketum,” kata Kamarul Abdullah, pengundi di Seri Setia yang menetap di Seksyen 14, Petaling Jaya, sambil tergelak.
Pekerja swasta berumur 54 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight, bagaimana hampir setiap malam, penduduk seusianya menghabiskan malam mereka berbual kosong sambil menikmati air rebusan ketum.
“Di sini perkauman bukan isunya, kami hidup bercampur gaul dengan kaum lain dalam harmoni. Isu di kawasan Seri Setia ialah isu sosial, lebih-lebih lagi di kawasan flat dan kampung-kampung, dengan warga asingnya lagi,” kata bapa kepada dua anak itu.
Kawasan DUN Seri Setia terletak di pinggir Kuala Lumpur, tidak sampai 30 minit dari pusat bandar. Kawasan yang dilalui Lebuhraya Persekutuan ini juga dicapai dengan komuter laluan Pelabuhan Klang-Sentul yang singgah di Stesen Seri Setia.
Deretan bangunan kediaman, daripada rumah pangsa projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Desa Mentari, Kampung Lindungan dan Kampung Baru Sungai Way sampailah kepada banglo mewah di Glenmarie menunjukkan pecahan kelas penduduknya, campuran pelbagai lapisan, termasuk warga asing.
Bekas calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Yusoff M Haniff juga mengakui keadaan yang harus diberikan perhatian di Seri Setia.
“Seri Setia itu ‘lembah masalah’... kos sara hidup, budak-budak dadah, ketagih ketum, ponteng sekolah, rumah sempit keluarga besar, pekerja asing… semua ada di sini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam pilihan raya kecil Seri Setia ini, BN tidak akan meletakkan calon sebaliknya sepakat ia ditandingi oleh sekutu pembangkang, PAS.

PAS menamakan bekas Adun Selat Kelang yang juga bekas exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil ini.
Parti Islam itu sebelum ini mengumumkan mahu menjadikan PRK Seri Setia sebagai pungutan suara terhadap pentadbiran baru kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi sebelum ini menyeru pengundi di Seri Setia untuk menolak PH sebagai isyarat rakyat tidak mahu ditipu dengan janji kosong pilihan raya.
Sejak tiga penggal lalu, Seri Setia diwakili oleh PKR di DUN Selangor. Calon mudanya ketika itu Nik Nazmi Nik Ahmad membuat kejutan pada pilihan raya umum 2008 apabila mengalahkan ketua Wanita Umno Selangor pada masa itu, Seripah Noli Syed Husin.

Nik Nazmi mempertahankan kerusi itu dengan menambah majoriti dalam pilihan raya umum 2013, mengalahkan calon BN Abdul Halim Saat.
Pada PRU14, Nik Nazmi berpindah bertanding kerusi Parlimen Setiawangsa. Calon PKR, Shaharuddin Badaruddin menang dengan majoriti lebih 19,000 undi. Beliau yang dilantik exco kerajaan negeri Selangor meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.
Nik Nazmi berkata, DUN Seri Setia mempunyai bilangan pengundi golongan bawahan yang tinggi dan memerlukan perancangan jangka panjang bagi menyelesaikan pelbagai isu di kawasan tersebut.
“Kawasan ini ada banyak kawasan perumahan kos rendah. Isu-isu yang ada sekarang kita warisi dari dulu. Hendak mengatasinya bukan mudah, kosnya juga besar,” katanya.
Beliau bagaimanapun percaya pelbagai masalah itu boleh diatasi dengan mudah sekarang kerana negeri dan persekutuan ditadbir oleh parti yang sama, memudahkan pihak yang berkenaan mencari penyelesaian jangka panjang.
“Sejak 2008 kita ada sekolah Tamil baru, masjid baru, dewan baru, banyak infrastruktur rakyat kita bina di sini. Apabila ada peluang baru kita akan dapat memperbaiki keadaan.
“Isu di sini ialah miskin bandar, kesesakan lalu lintas, itu isu yang kita cuba atasi. Isu banjir kita dapat kurangkan tapi dengan kepadatan penduduk banyak yang perlu kita laksanakan. Banyak kerja menanti Adun baru,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakatan Harapan (PH) menamakan Halimey Abu Bakar, 46, yang merupakan anak tempatan sebagai calon mereka.
Parti itu juga buat pertama kalinya akan menggunakan logo rasmi mereka dalam PRK kali ini.
Halimey dalam ucapan pertamanya malam kelmarin berkata tumpuan utama akan diberikannya untuk menyelesaikan isu perumahan PPRT, terutamanya di kawasan Lembah Subang.
Sebagai kubu kuat PKR, penganalisis politik, Azizuddin Sani berkata tugas sukar menanti PAS di kerusi itu, walaupun Dr Halimah dikenali dan pernah berkhidmat dalam kerajaan Selangor.
“Tak banyak perubahan yang akan berlaku dalam PRK Seri Setia dan Balakong, di Seri Setia pengundi masih menyokong parti kerajaan, begitu juga di PRK Balakong.
“Trend sama seperti di PRK Sg Kandis, iaitu penurunan jumlah pengundi dijangka akan berulang di dua PRK ini,” katanya.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan DUN Seri Setia mempunyai sejumlah 52,650 pengundi berdaftar.
Daripada jumlah itu, 56% merupakan pengundi Melayu dan baki 44% adalah pengundi bukan Melayu. – 19 Ogos, 2018.
Komen