Najib, Jamal akan diminta 'berehat' sementara Umno pulih semula


SM Amin

Najib Razak akan diminta 'berehat' sementara Umno memulihkan imej parti selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018.

NAJIB Razak dan Jamal Md Yunus mengetuai senarai 15 pemimpin Umno yang akan diminta “berehat” sementara Umno memulihkan imej parti selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kata sumber.

Cadangan itu berbangkit semasa pemukiman Umno di Janda Baik baru-baru ini dan mendapat sokongan majoriti yang hadir, tambah sumber.

“Ada 15 nama disebut. Najib dan Jamal sudah tentu berada di kedudukan teratas.

“Bukan hendak menidakkan jasa dan sumbangan mereka dalam parti tetapi hakikatnya mereka ini tidak disenangi rakyat disebabkan ‘character assassination’ (pencemaran nama baik) yang dibuat oleh pembangkang dulu.

“Mereka boleh beri sumbangan terhadap parti tetapi jangan terlalu ke hadapan. Rehat dahulu. Jika tidak susah parti hendak dapatkan balik sokongan rakyat,” kata sumber kepada The Malaysia Insight.

Sumber itu bagaimanapun enggan menamakan 13 pemimpin Umno yang lain.

Pemukiman dua hari itu antara lain membincangkan gerak kerja parti sebagai pembangkang dan tawaran baru kepada rakyat. Ia disertai pimpinan pusat parti termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, ketua-ketua bahagian dan ahli Parlimen Umno.

Najib bagaimanapun tidak hadir ke pemukiman tersebut kerana hadir ke mahkamah Jumaat lalu. Jamal juga tidak hadir tetapi tidak diketahui atas alasan apa.

Pemukiman itu turut mendengar cadangan agar Umno meninggalkan konvensyen melantik presiden Umno menjadi ketua pembangkang atau perdana menteri jika Umno menang pada masa akan datang.

“Kuasa perlu dikembalikan kepada presiden dan Majlis Tertinggi Umno untuk semak dan imbang apa yang dilakukan oleh ketua pembangkang atau perdana menteri nanti.

“Kita sudah lihat apa yang berlaku masa Dr Mahathir, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dan Najib ketika jadi presiden dan perdana menteri pada waktu yang sama. Bila masalah timbul, parti terpalit sekali. Tiada siapa yang mampu menegur,” katanya.

Bagaimanapun kata sumber, tiada keputusan muktamad dibuat ketika Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat rumusan bengkel pemukiman parti.

Tambah sumber, Umno juga akan melaksanakan pemutihan ahli selepas mendapati terdapat ahli-ahli dalam PRU14 yang lalu secara terbuka menyokong Pakatan Harapan.

“Ketua-ketua cawangan akan memainkan peranan mengenal pasti ahli-ahli yang terlibat dan senarai itu akan di bawa ke Badan Perhubungan Negeri untuk dimuktamadkan,” ujarnya. – 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen