Ibrahim Ali tubuh parti baru Putra


SM Amin

Idea untuk menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) timbul selepas melihat tiada siapa lagi mempertahankan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan agama dan bangsa, sehingga menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera berada "dalam keadaan cukup bercelaru", kata Ibrahim Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Ogos, 2018.

IBRAHIM Ali menubuhkan sebuah parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebagai alternatif kepada parti-parti Melayu Bumiputera yang sedia ada, 100 hari selepas Pakatan Harapan menggantikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan.

Ibrahim berkata idea untuk menubuhkan parti baru timbul selepas melihat tiada siapa lagi mempertahankan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan agama dan bangsa, sehingga menyebabkan orang Melayu dan Bumiputera berada “dalam keadaan cukup bercelaru”.

“PAS walaupun mempunyai 18 ahli Parlimen, keadaannya umpama hidup segan mati tidak mahu. Pendekatan mereka selama ini tidak ke mana. Umno pula masih bergelut dengan masalah dalaman. 

“Ada yang melihat, ada parti-parti yang memang bersekongkol dengan pihak yang nyata dan jelas tidak senang dengan perkara mengenai Islam dan Bumiputera. 

“Jadi kita ambil keputusan untuk tubuh parti baru sebagai alternatif,” katanya dalam sidang media pengumuman penubuhan parti politik baru itu di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Ibrahim yang juga presiden penaja Putra turut menjelaskan parti baru itu bukan Perkasa yang diubah pendaftarannya untuk jadi parti politik, sebaliknya Perkasa kekal sebagai sebuah pertubuhan masyarakat. Perkasa ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008, yang pertama kali menyaksikan BN hilang majoriti dua pertiga sejak 1969.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), sebagai alternatif kepada parti-parti Melayu Bumiputera yang sedia ada, 100 hari selepas Pakatan Harapan menggantikan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan, kata Ibrahim Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Ogos, 2018.

Tiada pecah belah

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menafikan tindakan menubuhkan parti baru hanya akan menambahkan perpecahan orang Melayu kerana orang Melayu sememangnya sudah berpecah apabila Anwar Ibrahim menubuhkan PKR 20 tahun lalu.

Jelas Ibrahim, perkara yang sama juga berlaku apabila tertubuhnya Amanah yang juga serpihan daripada Pas serta tindakan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Bersatu selepas tidak berpuas hati dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Perpecahan ini sudah berlaku tetapi perpecahan ini lebih kepada persoalan perkara-perkara tertentu dan bukannya parti.

“Pada kami kita hendak beri alternatif sebuah parti untuk rakyat dengan kepimpinan yang bersih, tidak retorik dan tidak hipokrit atau munafik, dengan harapan mereka menyertai kami dan orang Melayu boleh bersatu dalam parti ini,” katanya.

Menurut Ibrahim, Ketua Penerangan Penaja yang juga penasihat undang-undang parti, Khairul Azam Abd Aziz telah menghantar permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) secara talian pada 13 Ogos lalu dan menyerahkan dokumen secara fizikal tiga hari kemudian.

Beliau berharap, perdana menteri dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dapat meluluskan segera penubuhan parti itu kerana Putra tiada sebarang niat untuk bermusuhan dengan mana-mana pihak. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen