JABATAN Negara Amerika Syarikat mengarahkan ahli keluarga kakitangan kedutaannya di Caracas untuk meninggalkan Venezuela dan membenarkan kepulangan sukarela kakitangan kedutaan ketika krisis politik di negara itu semakin memuncak.
Ia juga menasihatkan rakyatnya untuk tidak pergi ke negara Amerika Selatan itu “kerana kekecohan sosial, jenayah ganas dan kekurangan makanan dan ubat-ubatan.”
Tindakan itu berlaku ketika kerajaan yang diterajui Presiden Nicolas Maduro sedang bertelingkah dengan pembangkang yang melanggar arahan kerajaan untuk tidak mengadakan tunjuk perasaan seluruh negara menjelang pengundian di negara itu.
Maduro mengadakan pilihan raya untuk pemilihan wakil dewan perlembagaan yang ditentang pembangkang bertujuan untuk mengubah perlembagaan negara itu- tindakan yang dilihat banyak pihak sebagai cubaan untuk mengukuhkan kuasanya.
Rabu lalu, AS mengenakan sekatan kepada 13 pegawai dan bekas pegawai kanan Venezuela kerana keenganan Maduro untuk menghentikan pemilihan itu.
Pada Khamis pula, AS mengeluarkan kenyataan mengatakan: “situasi politik dan keselamatan di Venezuela tidak dapat diduga dan boleh berubah sekelip mata,” dan menambah “jenayah ganas ialah wabak yang berlaku di seluruh negara dan boleh berlaku di mana sahaja pada bila-bila masa.” – AFP, 28 Julai, 2017.
Komen