Putrajaya batal semua saman AES


Asila Jalil

Ini adalah sekali sahaja. Selepas 1 September, mana-mana saman yang dikeluarkan perlu dibayar pengguna, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 17 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA sudah membatalkan semua saman sedia ada yang dikeluarkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Anthony berkata bermula 1 September, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil alih operasi AES yang sekarang diselia oleh dua syarikat swasta.

“Terdapat 3.1 juta saman belum dibayar sehingga Mei tahun ini. Jika dibayar nilainya boleh cecah RM430 juta.

“Ini adalah sekali sahaja. Selepas 1 September, mana-mana saman yang dikeluarkan perlu dibayar pengguna,” katanya pada sidang media hari ini.

Buat masa sekarang, terdapat 10 AES tetap dan empat AES mudah alih di 14 kawasan rentan kemalangan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

Sistem kawalan AES merakam gambar dan video kenderaan yang melanggar peraturan jalan raya sebelum saman dikeluarkan kepada pengguna.

Bagaimanapun, Anthony berkata tiada bayaran balik buat pemandu yang telah membayar saman sebelum ini.

“Saya minta maaf atas perkara ini. Kami tak akan beri bayaran balik,” katanya.

Beliau menambah,  AES diperkenalkan pada 2012, hanya 18 peratus daripada 3.76 juta saman yang dikeluarkan sudah membayar saman manakala sebanyak 3.1 juta saman berjumlah lebih RM435 juta masih lagi tertunggak dan belum diselesaikan.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah berjanji akan memasang 831 kamera untuk mengurangkan kesalahan lalu lintas sebagai sebahagian daripada fasa pertama projek AES yang dilaksanakan pada September 2012. – 17 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen