Budak sekolah Australia godam Apple


Mahkamah Kanak-Kanak Victoria diberitahu yang pelajar lelaki 16 tahun itu menggodam sistem perisian canggih pemprosesan data Apple dari rumahnya di Melbourne dan memuat turun 90GB data sulit. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2018.

SEORANG pelajar sekolah yang menyimpan “impian” untuk bekerja dengan Apple menggodam sistem komputer gergasi teknologi itu, lapor media Australia walaupun syarikat itu berkata tiada data pelanggan yang terjejas.

Mahkamah Kanak-Kanak Victoria diberitahu yang remaja itu menggodam sistem perisian canggih pemprosesan data Apple dari rumahnya di Melbourne dan memuat turun 90GB data sulit, lapor akhbar The Age pada Khamis.

Remaja lelaki berusia 16 tahun itu kemudian memecah masuk sistem itu beberapa kali kerana merupakan peminat Apple dan “berimpian” untuk bekerja dengan gergasi AS itu, kata peguamnya dipetik akhbar berkenaan.

Apple dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata pasukannya “menyedari akses tidak sah, mengekangnya dan melaporkan kejadian kepada penguatkuasa undang-undang”.

Syarikat terkemuka itu yang pada awal bulan ini menjadi syarikat swasta pertama melepasi nilai pasaran AS$1 trilion berkata ia mahu “memastikan pelanggan kami yang sepanjang kejadian itu berlaku data peribadi mereka tidak terjejas.”

Siasatan antarabangsa dilancarkan selepas pengodaman itu terbongkar melibatkan FBI dan Polis Australia, lapor The Age.

Polis berkata mereka tidak boleh memberikan ulasan kerana kes itu sedang dibicarakan.

The Age melaporkan polis menyerbu rumah remaja itu tahun lepas dan menemui fail dan arahan godaman disimpan dalam folder bertulis “hacky hack hack”.

“Dua komputer riba Apple dirampas dan nombor sirinya sepadan dengan nombor siri peralatan yang memasuki sistem dalaman (Apple),” kata pendakwaraya.

Telefon bimbit dan pemacu cakera keras turut dirampas.

Remaja itu sudah mengaku bersalah dan kes itu akan kembali didengar di mahkamah bulan depan. – AFP, 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen