POLIS Queensland telah melumpuhkan satu sindiket penyeludupan dadah dan senjata api antara negeri susulan siasatan rapi selama 18 bulan yang menyaksikan lapan orang ditahan.
Kelapan-lapan suspek telah dihadapkan ke mahkamah dan berdepan 43 pertuduhan termasuk memiliki dadah, senjata api dan bahan letupan secara haram.
Menurut agensi berita China Xinhua, siasatan awal menunjukkan bahawa kumpulan itu adalah sebahagian daripada organisasi jenayah terancang utama yang mengedar narkotik dan senjata api yang dicuri di seluruh Queensland serta negeri lain.
Selepas mengumumkan perkara itu pada petang Khamis, penyiasat menyempurnakan waran geledah di 10 hartanah di kawasan pedalaman dalam wilayah Toowoomba, yang terletak 125 kilometer di barat Brisbane.
Menurut Detektif Sarjan Isa Tolete dari Biro Penyiasatan Jenayah St George, kejayaan operasi sepanjang tempoh setahun setengah yang lalu amat bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk tempatan kerana memainkan peranan penting dalam melumpuhkan rangkaian sindiket ini dan menghalang pengedaran senjata api serta dadah dalam komuniti,” katanya.
Meskipun tiada kecederaan serius yang dilaporkan berlaku semasa penahanan kesemua suspek pada Khamis, polis berkata seorang daripada mereka, lelaki berusia 32 tahun, telah melawan dan “terpaksa ditarik keluar dari kenderaan” selepas dipintas di satu hentian lalu lintas.
Apabila polis menggeledah keretanya, mereka menemui dua pistol yang berisi peluru dan kira-kira 400 gram dadah jenis metamfetamin, atau dikenali penduduk tempatan sebagai ‘Ice.’ – Bernama, 17 Ogos, 2018.
Komen