Pesawat China terbabas di Manila


Pesawat Xiamen Airlines itu membawa 157 penumpang dan lapan anak kapal mendarat pada percubaan kali kedua sebelum terbabas ke padang rumput lapangan terbang. Semua berjaya diselamatkan. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2018.

SEBUAH pesawat China terbabas dari landasan ketika mendarat di lapangan terbang Manila kerana hujan lebat, kata pihak berkuasa pada Ahad. 165 penumpang dan anak kapal berjaya diselamatkan.

Pesawat itu membawa 157 penumpang dan lapan anak kapal mendarat pada percubaan kali kedua sebelum terbabas ke padang rumput lapangan terbang, kata jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina Eric Apolonio kepada AFP.

Ia dalam perjalanan ke Manila dari Xiamen, China.

“Semua orang selamat tetapi mereka terpaksa menggunakan gelongsor kecemasan kerana lumpur,” katanya menambah kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Pesawat Xiamen Airlines jenis Boeing 737 itu masih berada berhampiran laluan utama lapangan terbang pada pagi Jumaat selepas kejadian berlaku malam Khamis itu.

Sayap dan enjinnya rosak teruk dalam kejadian itu, lapor agensi berita China, Xinhua yang turut melaporkan yang pesawat itu membuat beberapa pusingan dalam cubaan mendaratnya.

Ia turut menyebabkan penutupan sebahagian lapangan terbang utama Filipina itu.

Pihak berkuasa menutup landasan utama lapangan terbang sehingga jam 4 petang waktu tempatan memaksa penundaan, pembatalan atau perubahan laluan pesawat lain.

Apolonio berkata landasan kepada pesawat kecil masih dibuka dan kejadian itu menyebabkan ribuan penumpang lain terkandas.

Siasatan sedang dijalankan, katanya. – AFP, 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen