Jerebu: Lebih 1,000 titik panas di Kalimantan Barat


Pasukan bomba Indonesia berusaha memadamkan kebakaran di beberapa kawasan hutan di Kalimantan Barat. – Gambar EPA, 17 Ogos, 2018.

PIHAK berkuasa Indonesia mengesan lebih 1,000 titik panas di Kalimantan Barat setakat semalam, hasil pemantauan dalam tempoh 24 jam sebelumnya, ketika jerebu mula dikesan melanda beberapa bahagian di Malaysia sejak beberapa hari lalu.

Pemantauan oleh agensi bencana nasional Indonesia (BNPB) menunjukkan terdapat 592 titik panas dalam kategori sederhana sementara 469 lagi dalam kategori tinggi, lapor Antara.

Jumlah titik panas yang dicatatkan oleh pihak berkuasa Indonesia sebelum ini ialah 786 pada 15 Ogos dan 450 pada 13 Ogos.

Agensi itu dalam satu kenyataan yang dipetik Antara juga berkata ia sudah mengerahkan empat helikopter untuk melakukan kerja-kerja pemadaman kawasan hutan yang terbakar.

Sementara itu, portal berita Merdeka.com melaporkan Pontianak, ibu kota Kalimantan Barat, kini diseliputi kabut asap sehingga memaksa penduduknya menggunakan topeng muka ketika di luar rumah. Jarak pandang di Kalimantan dilaporkan antara 30 hingga 70 meter.

Beberapa masjid juga dilapor akan mengadakan solat istisqa hari ini untuk memohon hujan bagi mengurangkan kesan jerebu ketika musim kering sekarang.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia melaporkan terdapat 163 kes kebakaran hutan di Sarawak dalam tempoh seminggu melibatkan kawasan seluas 189 hektar.

Beberapa kawasan di Sarawak awal hari ini mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara sederhana, termasuk Mukah yang semalam mencatatkan bacaan tidak sihat.  – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen