Prestasi kerajaan Pakatan layak dapat gred 'D', kata ketua MCA


Khoo Gek San

Presiden MCA Liow Tiong Lai mendakwa kerajaan Pakatan Harapan hanya memberi tumpuan untuk memenangi hati rakyat dan bukannya menangani janji yang dibuat dalam manifestonya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

KETIKA Pakatan Harapan (PH) meraikan 100 hari ia berkuasa hari ini, kekurangan kemajuan ekonomi dan mengagungkan personaliti politiknya menerima gred “D” daripada Liow Tiong Lai.

Presiden MCA itu berkata PH hanya memberi tumpuan untuk memenangi hati rakyat dan bukannya menangani janji yang dibuat dalam manifestonya.

“Saya kesal PH tidak menghormati janji 100 harinya dan pembangunan menjadi kurang penting. Saya menjangkakan mereka akan melakukan lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu dan menggesa kerajaan supaya tidak keras kepala terutama Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang membuat pengumuman tanpa berfikir dahulu, menunjukkan dirinya sebagai wira kepada rakyat,” kata Liow kepada The Malaysian Insight dalam temu bual.

Beliau berkata satu contoh adalah pengumuman Lim mengenai “kecurian” yang dikatakan bernilai RM18 bilion dalam pembayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan, yang boleh merosakkan kredibiliti kewangan negara.

Liow juga berkata membuat pengumuman sedemikian tanpa siasatan terdahulu tidak adil kepada kerajaan terdahulu.

“Saya mempunyai harapan yang tinggi terhadap Lim. Saya berharap beliau dapat meletakkan rakyat dan keperluan negara di atas berbanding dirinya, dan saya fikir ramai yang kini kecewa dengannya,” katanya.

Liow berkata orang ramai mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan PH, tetapi sekarang ia berpatah balik banyak janji pilihan rayanya yang menyebabkan rakyat kecewa.

Antara janji yang gagal ditunaikan termasuk menstabilkan harga bahan bakar, memansuhkan hutang peneroka Felda dan isu yang dihadapi oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“PH nampaknya lebih berminat untuk membalas dendam terhadap pentadbiran terdahulu. Saya tidak fikir mereka tahu bagaimana mengendalikan diri sebagai kerajaan dan menghantar mesej yang tepat kepada rakyat. Kami tidak pernah melihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad secara aktif berusaha memenuhi janji kempen PH.

Isu pengangkutan awam dan jalan raya masih menjadi masalah penting yang perlu diselesaikan oleh kerajaan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018.

“Dr Mahathir juga mengatakan janji pilihan raya itu lebih kepada sebagai garis panduan. Kita dapat melihat mereka tidak dapat memenuhi janji 100 hari dan hanya melakukan kerja superfisial sahaja untuk mempromosikan diri mereka,” kata Liow.

Bekas menteri pengangkutan itu juga mengatakan kerajaan baru merosakkan ekonomi dan menjejaskan hubungan dua hala dengan negara lain kerana kecenderungan Dr Mahathir menyimpang daripada norma antarabangsa, terutamanya kajian semula projek berbilion dolar yang disokong oleh China, yang menjejaskan hubungan dua hala.

Liow juga berkata Dr Mahathir juga seolah-olah membuat pusingan “U” pada projek kereta api, yang menghubungkan Kunming, China dan Singapura, melalui Vietnam, Kemboja, Laos, Thailand dan Malaysia, yang dijangka membawa banyak pembangunan ekonomi ke Malaysia.

Beliau berkata  Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) direka untuk menjadi sebahagian daripada projek kereta api Kunming.

“ECRL adalah untuk menyelaraskan landasan kereta api kita dengan Thailand, dan ini akan menghubungkan semua jalan ke Kunming. Kerjasama kerajaan sebelum ini dengan China untuk membina ECRL adalah pemenuhan sasaran yang ditetapkan 20 tahun lalu,” kata Liow sambil menambah pendirian kerajaan PH terhadap ECRL dilihat membahayakan projek Kunming.

Beliau juga berkata penangguhan projek MRT3 dan pengecilan saiz LRT3 akan menjejaskan rangkaian jalan raya Malaysia, yang seterusnya merosakkan pembangunan ekonomi.

“Saya bersetuju dengan penyiasatan kos yang tinggi, tetapi adakah kerajaan baru juga menyediakan penyelesaian baru untuk keadaan trafik kita? Semua tindakan keputusan ad-hoc dan penangguhan bukanlah cara yang betul,” kata Liow.

Beliau menambah landasan berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura akan memberi manfaat besar kepada Malaysia kerana Singapura menjadi kuasa ekonomi. – 17 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen