Halimey Abu Bakar calon Pakatan di PRK Seri Setia


Mohd Farhan Darwis

Halimey Abu Bakar (tengah) dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada majlis pengumuman calon yang diadakan di Petaling Jaya, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Ogos, 2018

PAKATAN Harapan (PH) mempertaruhkan bekas penyelaras DUN Kota Damansara, Halimey Abu Bakar, 46, sebagai calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia. 

Pengumuman itu dibuat Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail di Petaling Jaya, malam ini. 

“Kita tak sangka kita akan adakan PRK dalam masa terdekat dalam meneruskan pentadbiran di Selangor, tapi kita terpaksa berhadapan perkara ini. 

“Saya mohon semua, berilah sekali lagi, memanglah di Sungai Kandis tidak ramai yang keluar mengundi, di sini kenalah semua keluar mengundi dan undi PH,” kata Dr Wan Azizah. 

Halimey pernah berkhidmat dengan PKR sejak 1998 dan aktif dengan kepimpinan parti itu di Selangor.

Beliau juga pernah menjadi ketua perhubungan PKR Kelana Jaya pada 2015 dan berkhidmat sebagai sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya. 

Dalam PRK DUN Seri Setia dan DUN Balakong yang akan diadakan serentak pada 8 September depan, PH juga buat pertama kalinya akan menggunakan bendera rasminya.

PAS semalam mengumumkan bekas Adun Selat Kelang yang juga bekas exco Selangor, Dr Halimah Ali sebagai calon mereka di kerusi berkenaan. 

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal bulan ini akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),  Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran. – 16 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen