PAC, ketua audit negara akan siasat semula 1MDB


Chan Kok Leong

PAC dan ketua audit negara akan membuka semula siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selepas Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul membuka semula siasatan. – Gambar fail EPA, 16 Ogos, 2018.

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) dan ketua audit negara akan membuka semula siasatan terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) selepas Parlimen termasuk ahli daripada Barisan Nasional meluluskan usul membuka semula siasatan.

Usul untuk membuka semula siasatan itu dibacakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 5.45 petang tadi.

“Ini perlu kerana skandal rasuah 1MDB tidak disiasat secara sempurna dan tiada tindakan diambil oleh kerajaan BN untuk menyelesaikan perkara itu,” kata Lim ketika membentangkan usul itu.

Beliau berkata siasatan itu perlu untuk mengembalikan integriti Parlimen.

Lim berkata sebelum perubahan kuasa, tiada tindakan diambil sedangkan beberapa tindakan saman dilakukan di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland yang menyaksikan arahan penutupan bank, rampasan aset dan beberapa individu dipenjarakan.

“Tetapi tiada tindakan diambil di Malaysia,” katanya.

Lim yang juga ahli Parlimen Bagan berkata laporan PAC terdahulu memadam maklumat tentang “pemilik benefisiari” Good Star Ltd yang menerima pindahan wang daripada 1MDB.

“Bekas pengerusi (Hasan Ariffin – ahli Parlimen Rompin) juga merahsiakan surat Bank Negara daripada ahli PAC yang lain,” kata Lim.

Beliau juga mempertikaikan keberkesanan laporan PAC terdahulu yang gagal menyoal ahli perniagaan Low Taek Jho atau bekas perdana menteri Najib Razak ketika prosidingnya berlangsung.

Low dilaporkan sebagai pemilik benefisiari Good Star sementara Najib pada ketika itu ialah pengerusi 1MBD.

“Bekas ketua audit negara Ambrin Buang juga merekodkan rasa tidak puas hatinya terhadap pengurusan 1MDB yang tidak bekerjasama dengan tidak mengemukakan dokumen kewangan kepada mereka.

“Oleh itu, PAC dan peguam negara yang baharu akan dibenarkan untuk menyiasat secara sempurna dan Najib akan diberikan peluang untuk menyangkal tuduhan terhadapnya dalam prosiding itu,” kata Lim.

Usul itu diluluskan sebulat suara selepas sejam dibahaskan yang menyaksikan bekas pengerusi PAC, Hasan dan bekas ahli PAC Tony Pua (Damansara-PH) bertikam lidah berkenaan minit terakhir tidak dimasukkan dalam laporan akhir PAC.

Laporan PAC dikeluarkan pada 7 April, 2016.

Ketika perbahasan, Akmal Nasir (Johor Bahru-PH) mencadangkan prosiding PAC terbuka kepada umum supaya semua orang dapat menyaksikannya.

Tetapi Speaker Mohamad Ariff Md Yusof berkata ia tidak boleh diputuskan sekarang.

“Biar PAC mesyuarat dulu dan buat keputusan mereka. Jika mereka mahu buka prosiding, mereka boleh bawa ke Dewan Rakyat untuk diputuskan oleh ahli Parlimen,” kata Ariff.

Cadangan untuk prosiding PAC dibuat secara terbuka turut disokong oleh Lim Kit Siang (Iskandar Puteri-PH) dan Annuar Musa (Ketereh-BN). – 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen