.jpg)
KEBELAKANGAN ini begitu rancak diperbincangkan cybertrooper dan kuncu-kuncu Umno yang didalangi pegawai khas perdana menteri Rizal Mansor berkenaan isu penyelesaian pertikaian di antara Universiti Selangor (Unisel) dan Jana Niaga.
Selepas membuat beberapa dakwaan palsu berasaskan fakta-fakta yang salah dan lemah, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menjawab setiap isu yang dimainkan.
Apa yang lebih menjengkelkan adalah Rizal bercakap bagaikan mewakili Unisel, sedangkan pihak Unisel sendiri yang terlibat dengan proses penyelesaian pertikaian ini memutuskan di peringkat Lembaga Pengarah untuk terus berbincang dengan kesemua pihak berkepentingan.
Pada masa ini, Unisel dan Jana Niaga sudah tidak ada hubungan kontrak.
Di peringkat Unisel, dengan barisan pimpinan baru dan sokongan kerajaan Selangor terhadap agenda transformasi universiti, pelbagai perubahan positif sudah boleh dilihat.
Kewangan Unisel kian kukuh dan pada tahun ini juga setiap pekerja Unisel dinaikkan gaji selepas lima tahun tidak berganjak. Infrastruktur universiti juga diberi suntikan baharu melalui dana kerajaan Selangor yang menunjukkan komitmen untuk membantu menaik taraf kualiti universiti itu.
Rizal sepatutnya berhenti sahaja hendak berlagak seperti jaguh yang mempertahankan hak pelajar dan berhenti bercakap bagi pihak Unisel. Jika betul dia mahu jadi jaguh, jawablah isu-isu berkenaan 1MDB, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, KWAP dan sebagainya.
Berjuta orang terkesan dengan setiap skandal yang terpalit dengan bos beliau Najib Razak dan Rosmah Mansor. Walaupun bukti sudah jelas dibentangkan, pelbagai tindakan diambil di negara lain di dalam kes 1MDB, tetapi mereka masih berdiam.
* Nik Nazmi ialah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat The Malaysian Insight. – 27 Julai, 2017.
Komen