Pusat latihan risikan Afghanistan diserang kumpulan bersenjata


Pusat latihan perisikan di Kabul, Afghanistan hari ini diserang, sehari selepas pengebom bunuh diri membunuh puluhan pelajar di bandar raya itu. – Gambar fail AFP, 16 Ogos, 2018.

PENYERANG bersenjata melancarkan serangan ke atas pusat latihan perisikan di ibu kota Afghanistan di Kabul, hari ini, sehari selepas pengebom bunuh diri membunuh puluhan pelajar di bandar raya itu.

Ia kejadian terbaru dalam minggu berdarah yang menyaksikan militan memberikan tamparan kepada tentera kerajaan di seluruh negara.

“Pertempuran berterusan dan kawasan itu dikepung oleh pasukan keselamatan Afghanistan,” kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.

Kejadian berbalas tembakan berlaku berhampiran kemudahan latihan yang dipantau Direktorat Keselamatan Negara, agensi perisikan Afghanistan, dengan penyerang bersembunyi di dalam kawasan pembinaan berhampiran rumah penduduk, kata pegawai.

Siaran langsung di stesen penyiar Tolonews menunjukkan kawasan itu dikepung, sementara bunyi tembakan kedengaran di jalan raya yang lengang.

Setakat ini belum ada pihak mendakwa bertanggungjawab atas kejadian itu.

Serangan dilancarkan beberapa jam selepas pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan di dalam pusat pendidikan di barat Kabul, yang menyebabkan 37 maut. – AFP, 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen