SEORANG pengedar dadah rakyat Malaysia yang digelar “Iceman” dijatuhi hukuman mati di mahkamah Thailand hari ini, selepas disabitkan bersalah menjalankan jaringan narkotik yang menyalurkan keuntungan besar ke dalam perniagaan sah.
Tun Hung Seong ditahan pada April tahun lalu selepas maklumat yang diterima mendapati beliau membayar seorang lelaki untuk menyeludup hampir 300kg dadah jenis metamfetamin atau lebih dikenali sebagai kristal meth atau ice – melalui jalan selatan.
Penyiasat percaya Tun bertindak sebagai pengawal masuk ke dalam pasaran dadah Malaysia, di sempadan dan wang diperoleh digunakan dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi pusat karaoke, hotel dan restoran.
Mahkamah Bangkok mensabitkan Tun, 65, bersalah atas pertuduhan mengedar dadah, bersama dua lagi wanita Thailand dan seorang lelaki warga Taiwan.
Semua empat tertuduh dijatuhi hukuman mati, namun hukuman terhadap lelaki Taiwan dan salah seorang wanita Thailand itu dikurangkan kepada penjara seumur hidup kerana pengakuan mereka “berguna”.
Terletak di laluan perjalanan dadah di “Segi tiga Emas”, Thailand mempunyai jalan darat untuk menyeludup pil dan dadah dari kilang-kilang di bahagian berjiran Myanmar dan Laos, dengan nilai dagangan itu bernilai AS$40 bilion setahun.
Rampasan dadah di seluruh wilayah itu dilaporkan mengurangkan jumlah itu dalam tempoh beberapa bulan terakhir ini.
Pihak berkuasa Malaysia pada Mei berkata mereka merampas 1.2 tan kristal meth dari Myanmar yang disembunyikan dalam paket teh, dipercayai rampasan terbesar di negara ini dalam bentuk nilai dan berat.
Thailand membakar lebih 6 tan dadah pada Jun, kebanyakan dadah jenis metamfetamin.
Dari Oktober hingga Julai lalu, kira-kira 1,705 kes dadah dilaporkan di Thailand, berbanding 453 kes bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Thailand melaksanakan hukuman mati sejak Jun 2009. – AFP, 16 Ogos, 2018.
Komen