Rupanya bukan mudah menjadi kerajaan


Wan Hamidi Hamid

SUDAH 100 hari Pakatan Harapan menjadi kerajaan Malaysia. Rakyat membuat pelbagai tuntutan manakala Harapan masih terkapai-kapai dalam usahanya menjadi sebuah kerajaan yang baik.

Saya gembira Harapan menjadi kerajaan. Inilah masanya untuk bekas kumpulan pembangkang ini sedar betapa sukarnya mengurus kerajaan, seksanya mentadbir negara dan susahnya meyakinkan rakyat.

Selama menjadi pembangkang dulu, kata orang, mudah menuduh kerajaan serta menuntut pelbagai hak dan kebebasan.

Tetapi sebelum Harapan diperlekehkan, hakikatnya memang perit dan terseksa menjadi pembangkang pada era Barisan Nasional.

Pelbagai undang-undang digubal untuk menyekat kebebasan pembangkang bersuara. Ramai pemimpin pembangkang meringkuk dalam tahanan tanpa bicara semata-mata kerana mendedahkan kebenaran dan mengajak rakyat membawa perubahan.

Kini perubahan telah berlaku. Sekurang-kurangnya koalisi parti yang menjadi kerajaan sudah berubah.

Namun sekali lagi perlu kita semak hakikatnya. Harapan mendapat kira-kira 50% undi popular. Hampir separuh lagi diraih oleh UMNO dan PAS yang mana penyokong mereka sejak sedekad lalu semakin tebal dengan ketuanan kaum dan politik agama.

Jadi, perubahan yang bersifat progresif dan liberal yang dijanjikan oleh Harapan sukar dilaksanakan kerana ia berdepan dengan separuh warga Malaysia yang konservatif. Malah, jumlahnya mungkin lebih besar kerana dalam Harapan sendiri memang ada golongan konservatif.

Kerajaan Pakatan Harapan masih lagi terkapai-kapai dalam memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum ke 14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018

Oleh itu, tidak mengejutkan apabila isu-isu sensasi seperti aurat wanita, pakaian pramugari, pernikahan budak sekolah, pengiktirafan peperiksaan UEC, kasut sekolah hitam, hak LGBT sebagai manusia, dan isu-isu bahasa menjadi pilihan media massa dan juga minda massa.

Isu-isu sentimen itu pula dilayan oleh kebanyakan ahli politik yang sedar nilai sensasi dan kontroversi penting untuk kepentingan publisiti diri mereka.

Ini adalah kerana isu-isu itu tidak memerlukan akal untuk memikirkannya. Cukup sekadar hentam kromo dengan emosi. Asalkan perasaan dapat dibakar tanpa sebarang fakta atau maklumat yang tepat.

Kini, kerajaan Harapan terpaksa menerima hakikat bahawa inilah tugas, tanggungjawab dan peranan kerajaan. Rupanya bukan mudah menjadi kerajaan.

Ia perlu melayan kehendak, keperluan dan tuntutan rakyat yang pelbagai, tidak kira sama ada yang diminta itu adil, munasabah atau benar-benar perlu.

Pengalaman sebagai wartawan serta berkecimpung dalam dunia penulisan selama 30 tahun membolehkan saya sedikit sebanyak memerhati dan menilai prestasi kerajaan sejak akhir 1980-an.

Biarlah saya jelaskan lebih lanjut mengapa pada awal tulisan ini saya menyatakan kegembiraan saya melihat Harapan menjadi kerajaan.

Ini adalah kali pertama wujud kerajaan selain BN di Malaysia. Jadi rakyat – sama ada mahu menilai dengan akal atau emosi – juga buat kali pertama berpeluang membandingkan dua kerajaan yang berbeza.

Jika dirasakan Harapan lebih baik daripada BN (walaupun tidak adil membandingkan 100 hari dengan 61 tahun) atau sebaliknya, ia akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan datang.

Mungkinkah Harapan mampu kekal sebagai kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15? Atau mungkinkah BN (walau apa pun bentuknya nanti) dapat kembali berkuasa?

Yang lebih penting, sekurang-kuranganya bagi saya, perbandingan yang bakal dibuat ini akan menyedarkan pimpinan Harapan agar lebih prihatin, bersih, amanah, telus dan cekap dalam pentadbiran mereka.

Pakatah Harapan mendapat 50% undi popular pada PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2018

Jika Harapan gagal memenuhi aspirasi rakyat, khususnya rakyat yang rela bersabar dan memberi masa untuk kerajaan ini membuktikan keikhlasannya, ia bakal membuka satu ruang baru.

Selama ini ruang untuk suara ketiga sering dilaungkan tetapi isinya hampa. Kini ada peluang baru untuk mengisi ruang tersebut – jika Harapan gagal menjadi kerajaan yang baik manakala BN pula terus menjadi hampas.

Namun, suara baru itu tidak boleh sekadar berangan-angan atau berkhayal di media sosial sahaja.  Setiap idea perlu menerima hakikat bahawa masyarakat Malaysia masih konservatif, masih curiga dengan perubahan, dan masih takut dengan bayang-bayang.

Dalam masyarakat konservatif ini, masa amat diperlukan untuk menyelesaikan sebarang perkara. Ia memerlukan dialog dan perbincangan, dan ia terpaksa menerima kompromi.

Hakikatnya, kompromi bukan sesuatu yang kotor atau jijik. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa lagi kita sebagai rakyat yang mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Harapan saya kepada kerajaan Harapan serta para penyokongnya adalah agar mereka menumpukan kepada hal-hal yang amat diperlukan dalam hidup – pekerjaan, gaji dan sumber kewangan untuk diri dan keluarga; untuk pendidikan, pengangkutan, kesihatan dan keperluan rumah dan tempat tinggal.

Ruang kebebasan dan pengiktirafan hak-hak sah juga amat diperlukan. Memang masa diperlukan untuk merealisasikannya tetapi ia tetap perlu dilaksanakan tanpa berdolak-dalik.

Era baru menanti Malaysia jika kita kendurkan tekanan emosi dan tinggikan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat pelbagai kaum, agama, gender dan wilayah.– 17 Ogos, 2018


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen