WARIS dan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Malaysia ke Beijing empat tahun lalu menggesa untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semasa lawatan beliau ke China minggu depan.
Pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal, kebanyakannya dari China itu hilang pada Mac 2014.
Kira-kira 12 waris penumpang berhimpun di depan Kedutaan Malaysia di Beijing bagi menyerahkan surat yang dialamatkan kepada Malaysia sambil dikawal ketat pihak polis.
“Kami meminta Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad atau wakil kerajaan lain bertemu dengan waris penumpang rakyat China yang berada dalam penerbangan MH370 semasa lawatan beliau minggu depan,” kata surat itu.
Dr Mahathir yang dilantik sebagai perdana menteri Malaysia buat kali kedua dalam kejayaan mengejutkan pilihan raya Mei lalu dijadualkan tiba di China esok bagi memulakan lawatan lima hari, termasuk pertemuan dengan rakan sejawatnya di China Li Keqiang Isnin depan.
Antara permohonan lain termasuk menyambung misi mencari, pertemuan bulanan dengan MAS dan pegawai kerajaan Malaysia serta penjelasan menyeluruh oleh penyiasat berhubung laporan siasatan terkini insiden terbabit.
Surat yang sama turut diserahkan kepada Kementerian Luar. – AFP, 16 Ogos, 2018.
Komen