Suasana lebih terbuka dalam 100 hari pertama pentadbiran Pakatan


Pertubuhan masyarakat sivil menzahirkan rasa kagum terhadap usaha Pakatan Harapan dalam menangani isu rasuah, khususnya melibatkan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB)– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 16 Ogos, 2018.

PERTUBUHAN masyarakat sivil (CSO) menzahirkan rasa kagum terhadap usaha Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu rasuah, khususnya melibatkan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB), walaupun berasa kecewa dengan kemajuan yang ditunjukkan gabungan pemerintah itu dalam hal membabitkan kebebasan sivil dan institusi.

Ketika kerajaan baharu semakin hampir menuju tempoh genap 100 hari pentadbirannya, pemangku pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman berkata kemajuan dalam pembaharuan tersebut “sepatutnya lebih baik, atau (sekurang-kurangnya) lebih jelas”.

Kurangnya pembaharuan pilihan raya dan tindakan berlengah-lengah dalam memansuhkan undang-undang menindas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), adalah antara kegagalan yang diketengahkan pertubuhan tersebut.

“Beberapa undang-undang drakonian tidak dimansuhkan secara rasmi, seperti Sosma dan MKN. Kami bimbang apabila mereka kata AUKU mungkin memerlukan masa lima tahun untuk dimansuhkan,” kata Pengarah Program Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Ho Yock Lin.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa kerajaan akan memansuhkan AUKU dalam tempoh lima tahun akan datang.

PH berjanji untuk memansuhkan undang-undang tersebut, terutama Sosma, MKN dan AUKU, dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bagaimanapun, usul untuk memansuhkan akta tersebut tidak dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat yang akan berakhir hari ini.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Sumitra Visvanathan berkata beliau bimbang tentang bagaimana kerajaan menangani isu perkahwinan melibatkan kanak-kanak.

“Adalah membimbangkan bahawa terdapat kelewatan dalam mengeluarkan kenyataan yang jelas bahawa perkahwinan kanak-kanak tidak boleh diterima,” katanya, merujuk kepada kenyataan lisan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang pada mulanya dilihat tidak tegas dalam menentang perkahwinan membabitkan kanak-kanak selepas kes seorang peniaga getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan seorang budak berusia 11 tahun menjadi tular pada awal bulan Julai.

Pada 5 Ogos, kementerian mengeluarkan kenyataan akhbar yang secara jelas menentang perkahwinan kanak-kanak, lebih-lebih lagi melibatkan pasangan dewasa.

Ho juga kecewa dengan pelantikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Khazanah, kerana manifesto PH berjanji yang pelantikan ahli lembaga kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan berasaskan kepada politik.

Pada kemuncak 100 hari pentadbiran, katanya PH “ok, tetapi agak mengecewakan. Tindakan ke atas 1MDB adalah sesuatu yang baik, tetapi mereka juga telah gagal menunaikan banyak janji. “

Pembaharuan lain yang dijanjikan untuk memastikan ketelusan dan kebebasan institusi yang sebelum ini mengundang kritikan PH semasa mereka berada di blok pembangkang termasuk mengenai pilihan raya majlis tempatan yang dikatakan Putrajaya akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, memandangkan kekangan kewangan negara.

Walaupun ia tidak termasuk dalam janji 100 hari Pakatan, Bersih dan kumpulan lain ENGAGE menolak alasan seperti itu, sebaliknya menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendedahkan kos untuk melaksanakan pilihan raya majlis tempatan.

Mereka juga berkata perbincangan dengan pihak berkepentingan harus dimulakan dengan segera supaya rancangan untuk pelaksanaannya dapat disusuli dengan tindakan.

Bagaimanapun, Ho berasa beberapa kemajuan telah dibuat dalam 100 hari pertama pentadbiran PH, terutamanya tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dan kesediaan mereka untuk membuat pelantikan di luar kebiasaan membabitkan jawatan penting.

“Melantik Tommy Thomas dan individu lain tanpa mengira kaum adalah baik dan akan membantu menangani 1MDB dan skandal lain,” katanya.

Walaupun sedikit yang telah dilaksanakan daripada segi pembaharuan yang jitu, suasana politik bertambah baik di bawah PH, katanya.

“Secara keseluruhannya, perasaan dalam kalangan CSO dan dalam kalangan orang biasa adalah mereka berasa suasana (politik) lebih terbuka,” katanya.

Bersih juga berkata mereka diberi sinar harapan baharu apabila PH memanggil mereka sebagai pemerhati Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Kami mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk jamuan durian sebagai cara untuk membeli undi dan mereka bersetuju untuk menangguhkannya,” kata Shahrul.

Di samping itu, beliau berkata, “Suruhanjaya Pilihan Raya telah membuka beberapa cawangan baru, dan media lebih terbuka sekarang”.

Ho berkata adalah menjadi tanggungjawab CSO untuk terus memberikan kritikan yang membina bagi memupuk kerajaan yang lebih produktif.– 16 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen