KERAJAAN AS akan memperluaskan sekatan visa ke atas sebilangan warga Kemboja yang dianggap sebagai individu anti demokratik selepas pilihan raya negara itu 29 Julai lalu yang dilabel Washington sebagai pincang “dan tidak adil mahupun bebas.”
Jurucakap Jabatan Negara AS Heather Naubert berkata kerajaan AS akan memperluaskan sekatan pemberian visa kepada beberapa warga Kemboja, tambahan kepada senarai tahun lepas sebagai tindak balas kepada tindakan tidak demokratik parti pemerintah dan sekutunya.
Sekatan itu terpakai kepada mereka yang berada dalam dan luar kerajaan “yang bertanggungjawab kepada tindakan paling tidak demokratik diambil menjelang pilihan raya pincang 29 Julai,” katanya.
Dalam kes tertentu, sekatan itu juga meliputi ahli keluarga terdekat mereka.
Langkah itu diumumkan selepas Jawatankuasa Pilihan Raya Kemboja mengeluarkan keputusan rasmi pada Rabu menunjukkan parti Perdana Menteri Hun Sen yang mendominasi politik selama 33 tahun menyapu bersih 125 kerusi Parlimen.
Dalam kenyataan sempena keputusan itu, Washington berkata pilihan raya itu “tidak adil mahupun bebas dan gagal mewakili hasrat rakyat Kemboja.”
AS juga mengulangi desakan supaya Kemboja “serta merta membebaskan Kem Sokha (pemimpin pembangkang) dan tahanan politik lain dan menamatkan larangan ke atas pembangkang politik.” – AFP, 16 Ogos, 2018.
Komen