PROSES mengenalpasti 24 mangsa kemalangan bas maut di Ecuador berdepan masalah apabila mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri rasmi, kata pihak berkuasa pada Rabu.
“Malangnya, mayat sampai tanpa apa-apa dokumen identiti, menjadikan ia sukar untuk mengenal pasti mereka,” kata Ketua Forensik Klever Viteri di luar rumah mayat di bandar Pinchincha.
Setakat ini, tujuh warga Colombia, empat Venezuela dan dua Ecuador telah dikenal pasti.
Bogota mengesahkan yang 19 daripada 24 mangsa adalah warganya.
“Sebaik sahaja semua mayat dikenalpasti,” Colombia akan dipertanggungjawabkan, kata Jabatan Peguam Negara Ecuador dalam satu kenyataan.
Kemalangan berhampiran Quito dipercayai berlaku kerana kegagalan brek juga menyebabkan 22 orang cedera, termasuk 12 warga Colombia, kata Kementerian Luar.
Bas itu yang memakai nombor plat asing terbabas dan merempuh tiga rumah selepas bertembung dengan kenderaan lain.
Kolonel Pengangkutan Ecuador Julio Barba berkata pemandu itu “mungkin terlebih guna brek menyebabkan pemanasan sistem brek menyebabkan kenderaan hilang kawalan.”
Tiga daripada empat warga Ecuador dalam kenderaan yang dirempuhnya adalah antara yang terbunuh, termasuk tiga kanak-kanak.
Kementerian Pengangkutan Colombia pada Selasa berkata bas itu tidak mempunyai kebenaran membawa pelancong.
Salah seorang daripada dua pemandu yang cedera dalam kemalangan itu sudah ditahan.
Kemalangan jalan raya adalah salah satu punca kematian utama di Ecuador. Menurut kumpulan pemantau Justicia Vial, secara puratanya tujuh orang terbunuh dan hampir 80 orang cedera setiap hari dalam kemalangan jalan raya.
96% kemalangan disebabkan kecuaian manusia.
Ahad lalu, 12 orang terbunuh dan 30 lagi cedera selepas sebuah bas membawa penyokong Barcelona FC, kelab bola sepak paling terkenal di Ecuador terbabas dan terbalik di lebuh raya. – AFP, 16 Ogos, 2018.
Komen