Pengundi PAS undi MCA di Balakong, kata Hadi


Mohd Farhan Darwis

Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika berucap pada majlis pengumuman calon PRK DUN Seri Setia yang diadakan di Petaling Jaya, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Husssain, 15 Ogos, 2018

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang memberi jaminan parti Islam itu akan mengarahkan ahlinya mengundi calon MCA pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Hadi berkata, perkara itu diputuskan dengan mengambil kira faktor semangat pembangkang.

“InsyaAllah…kerana kita sama-sama semangat pembangkang,” katanya, ketika sidang media selepas pengumuman calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Seri Setia di Petaling Jaya, malam ini.

Hadi juga berkata, pihaknya yakin ahli Umno juga akan mengundi calon PAS pada PRK DUN Seri Setia.

“Bukan sahaja pengundi Umno tetapi pengundi bukan Umno, yang ada rakan-rakan kita, Umno yang ada pengaruh itu boleh menambah nilai,” katanya.

Tambahnya, PAS turut membuka pintu untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak untuk turut membantu kempen PAS di kerusi itu.

“Kita tak tutup pintu pada semua, terpulang pada pandangan masing masing untuk datang,” katanya.

Umno mengambil keputusan untuk tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kerusi DUN Seri Setia. 

PAS juga mengambil keputusan untuk tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis dan membantu kempen Umno yang meletakkan ahli Majlis Tertingginya Lokman Noor Adam sebagai calon mereka. 

PAS menamakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Kelang Dr Halimah Ali, sebagai calon mereka di kerusi berkenaan. 

Dr Halimah merupakan bekas exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor ketika pentadbiran Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar negeri itu. 

Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai exco, bersama tiga lagi exco PAS yang lain pada 2014 selepas Abdul Khalid melepaskan jawatan menteri besar susulan krisis politik di Selangor ketika itu. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen