Dr Halimah Ali calon PAS PRK Seri Setia


Mohd Farhan Darwis

Calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Seri Setia Dr Halimah Ali (tengah) bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang (kiri) pada majlis pengumuman calon parti itu yang diadakan di Petaling Jaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Ogos, 2018

BEKAS exco Selangor Dr Halimah Ali dinamakan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada satu majlis yang diadakan di Petaling Jaya malam ini. 

Dr Halimah merupakan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Kelang yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga adalah antara empat exco PAS yang meletak jawatan pada 2014 kerana menyokong Menteri Besar Selangor ketika itu Khalid Ibrahim.

Dalam ucapannya, Dr Halimah yang merupakan bekas exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor berkata, beliau mengharapkan pilihan pengundi di DUN Seri Setia akan mengundi beliau demi memastikan pembangkang di DUN Selangor mempunyai suara yang kuat.

“Walapun Pakatan Harapan kerajaan, kita boleh beri isyarat supaya mereka tidak leka, lalai, dan alpa, serta ada semak dan imbang yang kuat.

“Berdiri untuk saya, saya akan berdiri untuk kamu,” katanya, di hadapan kira-kira 400 penyokong PAS.

Sementara itu, Abdul Hadi dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kerana Umno turut memberi jaminan akan membantu kempen mereka di kerusi berkenaan.

“PAS mengalu-alukan pertolongan semua pihak, termasuk Umno, rakan yang sanggup membantu kita, bahkan (jika) parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) yang menukar pendirian,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Mutalib Rahim yang hadir turut mengesahkan kepimpinan Umno Selangor mengarahkan jentera parti di negeri itu membantu kempen PAS di PRK DUN Seri Setia.

“Tiada masalah (bantu PAS), memang kita diberi arahan, dalam mesyuarat dengan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor Ismail Sabri tadi, ya (bantu kempen)...kita 21 hari 100% (turun kempen),” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lalu. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen