BEKAS presiden Sri Lanka Mahinda Rajapakse akan disoal siasat berhubung penculikan seorang ketua pengarang akhbar pada 2008, kata polis pada Rabu, ketika pihak berkuasa secara rasmi memulakan siasatan ke atas bekas pemimpin dan keluarganya itu berkaitan tuduhan bunuh dan penipuan.
Penyiasat percaya sekumpulan pegawai tentera yang menculik Ketua Pengarang Akhbar Nation Keith Noyahr juga bertanggungjawab dalam pembunuhan seorang lagi ketua pengarang akhbar yang kritikal terhadap pentadbiran Rajapakse.
Jabatan Siasatan Jenayah berkata yang Rajapakse akan disoal siasat di rumahnya di Colombo pada Jumaat, kata jurucakap polis Ruwan Gunasekera kepada AFP.
Penculikan Noyahr yang mencetuskan kecaman banya pihak berlaku selepas beliau menerbitkan sebuah rencana mengkritik komander tinggi tentera.
Beliau diculik di luar rumahnya dekat Colombo ketika pulang dari kerja dan dibebaskan -cedera dipukul- di kawasan pinggir bandar beberapa jam selepas itu.
Pendakwaraya mendakwa beliau diculik menggunakan sebuah van berwarna putih dan dibelasah di sebuah rumah perlindungan milik agensi risikan tentera (DMI).
Noyahr sudah berpindah ke Australia.
Penyiasat juga percaya DMI adalah dalang pembunuhan Lasantha Wickrematunga, pengarang yang mendakwa setiausaha pertahanan Rajapakse dan adik lelakinya Gotabhaya menerima rasuah dalam pembelian senjata api dan dijadualkan memberi keterangan di mahkamah sebelum dibunuh.
Ketua DMI ketika itu, Amal Karunasekera sudah ditahan kerana kes itu.
Ketika pentadbiran Rajapakse, 17 orang wartawan dan pekerja media dibunuh.
Bekas presiden dan ahli keluarganya sedang disiasat kerana pembunuhan dan penipuan kewangan sepanjang beliau mentadbir.
Semua menafikan wujudnya salah laku dan menuduh pentadbiran sekarang sedang menjalankan balas dendam politik. – AFP, 15 Ogos, 2018.
Komen