Ahli Parlimen Johor puji tindakan Dr Mahathir semak harga air mentah 


Yasmin Ramlan Melati A. Jalil

Singapura membayar 3 sen per 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada johor pada harga 50 sen per 1,000 gelen.– Gambar EPA, 15 Ogos, 2018  

HASRAT Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menaikkan harga air mentah yang dijual ke Singapura sebanyak 10 kali ganda disambut baik ahli Parlimen  kerajaan mahupun pembangkang Johor. 

Meskipun kenyataan dalam temubualnya dengan Associated Press pada awal minggu ini, dijangka mencetuskan kritikan dari Singapura.   

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berkata, rundingan tersebut adalah sesuatu yang perlu dilakukan memandangkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini gagal melaksanakannya. 

Akmal berpendapat, keputusan meningkatkan harga 10 kali ganda itu wajar kerana ia tidak pernah diteliti semula. 

“Ini adalah sesuatu yang BN gagal lakukan. Terdapat beberapa usaha sebelum ini untuk meningkatkan tarif itu tetapi apa-apa pun, negara kita tidak pernah memperolehi rundingan yang kukuh dalam meningkatkan harga tersebut. 

“Ia sebenarnya satu cabaran kepada Dr Mahathir untuk buktikan kita boleh lakukan lebih baik daripada BN.

“Bagi saya ia bukan sahaja bagus untuk ekonomi tetapi juga maruah kita bagi menunjukkan nilai harga air mentah kita,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Singapura membayar 3 sen per 1,000 gelen air mentah dan menjual semula air terawat kepada johor pada harga 50 sen per 1,000 gelen. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub turut senada dengan Akmal kerana ia tidak pernah dibincangkan sejak kemerdekaan. 

“Sebagai sebuah kerajaan baharu, tiada salahnya untuk kaji tarif itu. Kita perlu berbincang berkenaan cadangan untuk mengkaji,” katanya. 

Isu air ditimbulkan beberapa kali sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara. 

Perdana Menteri terutamanya di dunia itu berhasrat berbuat demikian berikutan kos sara hidup yang sudah meningkat berbanding ketika perjanjian antara dua negara itu ditandatangani pada 1961. 

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata hasrat tersebut dialu-alukan, namun ia harus diselesaikan secara diplomatik dan kedua-dua negara perlu mencapai situasi menang-menang. 

Kata mereka, sebarang kata putus yang dicapai perlu memberi manfaat kepada rakyat Johor. 

“Harap ia berjaya. Itu harapan saya. Saya harap beliau berjaya berunding semula dengan harga yang lebih baik. Dan bila harga itu lebih baik, saya harap segala apa yang diperolehi itu boleh memanfaatkan rakyat negeri Johor,” kata Ahmad Maslan. 

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pontian itu berkata untuk merealisasikan rundingan ini, Malaysia perlu mencari cara untuk “memujuk” republik itu kerana kedua-dua negara mempunyai pendirian yang berbeza mengenai harga bekalan air mentah itu. 

“Bagi Malaysia sebab (harga) terlalu murah. Bagi Singapura pula mereka telah mengikat perjanjian yang dulu,” katanya. 

Perjanjian air pada masa ini yang akan tamat pada 2061, membabitkan 250 juta gelen sehari dari sungai Johor ke Singapura dan Johor layak menerima 5mgd air terawat dari Singapura. 

Dalam pada itu, Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad turut senada dengan Ahmad Maslan berhubung perkara itu. 

“Saya mengalu-lakukan hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan harga mentah yang dijual kepada Singapura sebanyak 10 kali ganda berikutan kos sara hidup yang sudah meningkat berbanding ketika perjanjian antara dua negara itu ditandatangani pada 1961. 

“Sepatutnya, dengan negara luar, Johor perlu dapat lebih daripada itu. Hasil tambahan itu nanti perlulah digunakan untuk menampung kos pemantauan sumber sungai dan empangan di Johor,” katanya yang juga ahli Parlimen Parit Sulong. 

Kenyataan perdana menteri itu bukan isu pertama melibatkan negara jiran. Beberapa minggu sebelum itu, beliau mengumumkan untuk membatalkan projek Landasan Kereta Api Laju (HSR) dengan Singapura atas alasan ia terlalu mahal. 

Namun, apabila ditanya mengenai sama ada kenyataan Dr Mahathir itu akan menjejaskan hubungan dua negara ini, bekas timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membuat perbandingan antara pentadbiran Dr Mahathir dan Najib Razak. 

“Tun Mahathir tidak pernah nak berbaik dengan Singapura pun. Itu kita lihat yang dia punya track record hubungan dengan Singapura berbanding dengan Datuk Seri Najib, hubungan diplomasi yang tinggi.

“Bukan kita (pentadbiran BN) gadaikan maruah ke apa, tapi ada tujuan hubungan perdagangan dan hubungan politik yang lebih ampuh. Itu di bawah Datuk Seri Najib. 

“Tapi kalau Tun Mahathir ingin meneruskan kaedah beliau, silakan. Asalkan matlamatnya tercapai,” katanya. – 15 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen