PEWARIS kedua takhta Britain, Putera William, akan menamatkan perkhidmatan sebagai juruterbang ambulans udara, selepas dua tahun berkhidmat untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas rasmi diraja.
Tindakan itu diambil selepas neneknya, Ratu Elizabeth II dan suami membuat keputusan untuk berehat daripada tugas rasmi diraja dan mahu generasi muda mengambil alih tanggungjawab mereka.
Bercakap mengenai kru perubatan yang menggunakan helikopter dari pangkalan lapangan terbang Cambridge, William memuji dedikasi semua yang terlibat dalam perkhidmatan kecemasan itu.
“Sebagai sebahagian pasukan itu, saya datang ke rumah ramai orang dan berkongsi momen emosi yang ekstrem, daripada rasa lega selepas diselamatkan hinggalah kesedihan yang amat mendalam,” katanya dalam ruangan editorial di The Eastern Daily Press.
William, anak sulung pewaris Britain, Putera Charles turut berkongsi kisah hariannya ketika bertugas termasuk satu insiden di mana dia dan pasukannya dipanggil membantu seorang lelaki yang hendak membunuh diri. – AFP, 27 Julai, 2017.
Komen