ISRAEL membuka semula laluan utama kargo di sempadan Gaza pada pagi Rabu, selepas seminggu ditutup akibat keganasan.
Pembukaan laluan Kerem Shalom itu diputuskan Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman dan Ketua Staf Umum, Gadi Eisenkot, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan tentera.
Zon memancing di Semenanjung Gaza juga akan diperluas hingga ke sembilan batu nautika (16.6 kilometer).
Lieberman dalam Facebooknya menulis, pembukaan Kerem Shalom memberikan isyarat jelas kepada penduduk di Semenanjung Gaza, ia adalah sebagai “balasan tiadanya keganasan”.
Langkah itu ketika usaha Mesir untuk mengadakan rundingan merangkumi pengurangan sekatan di wilayah Palestin yang dikepung dan gencatan senjata yang berpanjangan.
Beberapa minggu kebelakangan ini, peperangan antara Israel dan Hamas terus memuncak, selepas protes selama sebulan di sepanjang sempadan Gaza-Israel terhadap sekatan 11 tahun yang dikenakan ke atas Gaza.
Sejak 30 Mac, tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 164 orang Palestin, termasuk 121 penunjuk perasaan, manakala seorang penembak curi Palestin membunuh seorang askar Israel. – Bernama, 15 Ogos, 2018.
Komen