.jpg)
BERIKUTAN demam pemilihan parti yang sedang melanda seluruh anggota PKR kini, Pemuda Harapan Johor terpanggil untuk sama-sama meraikan amalan demokrasi seperti ini.
Dalam ghairah berkempen, prinsip dan etika kempen bersih perlulah menjadi keutamaan semua, selaras dengan aspirasi perubahan yang dibawa oleh ke empat-empat parti dalam gabungan PH.
Banyak rungutan dan kekecewaan yang disuarakan oleh pendokong PH berikutan kenyataan YB Abdullah Sani yang dilihat menyerang kepimpinan negara tanpa bukti dalam siri kempen pemilihan yang mana beliau terlibat.
Sebagai parti yang menjadi tulang belakang PH dan mempunyai kerusi paling banyak, PKR perlu memastikan kempen pemilihan parti dijalankan secara bersih bijaksana, beradab dan tertib serta menghindari budaya adu domba dan fitnah.
Menjadi tanggungjawab semua parti komponan termasuk PKR untuk memelihara muafakat yang telah dibentuk di atas aspirasi yang diberikan oleh rakyat dalam PRU14 yang lalu.
Justeru, adalah wajar kepimpinan PKR dan PH perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin PH yang menggugat keharmonian dan perpaduan parti-parti komponen.
Sehubungan itu, Pemuda Harapan Johor menggesa YB Abdullah Sani dihadapkan ke lembaga disiplin PKR atau jawatankuasa disiplin Pakatan Harapan di atas kenyataan beliau.
Muafakat dan keharmonian setiap komponan dalam gabungan PH adalah keutamaan dalam memastikan kerajaan PH terus kukuh. Segala bentuk elemen yang menggalakkan perpecahan perlulah diatasi dengan penuh bijaksana.
Bulatnya sokongan rakyat kerana bulatnya muafakat yang telah kita bina sebelum ini. Maka marilah kita bersama menjaga amanah rakyat ini sebaiknya dan fokus kepada kerjasama mengangkat agenda dan janji kita kepada rakyat.
Rakyat telahpun melalui pengalaman menukar tampuk pemerintahan dan rakyat akan terus menilai prestasi kerajaan pemerintah. – 15 Ogos, 2018
* Mohd Faizal Mohd Yusak merupakan ketua Pemuda Harapan Johor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen