MAHKAMAH Colombia pada Selasa mendapati bekas pegawai di Jabatan Pentadbiran Keselamatan (DAS), Jose Miguel Narvaez terlibat dengan pembunuhan wartawan Jaime Garzon pada 13 Ogos 1999 dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun.
Narvaez dituduh menggunakan hubungannya dengan bekas ketua separa tentera Carlos Castaño Gil untuk mengarahkan pembunuhan dilakukan. Semasa pembunuhan, Narvez adalah seorang profesor di sekolah tentera Colombia.
Perbicaraan kes pembunuhan itu berlangsung selama dua tahun.
Sebelum dibunuh Garzon yang juga seorang peguam dan aktivis keamanan, mendedahkan yang beliau pernah menerima ancaman bunuh.
Pada 2016, Narvaez dijatuhi hukuman penjara lapan tahun kerana mencuri dengar perbualan telefon dan mengintip wartawan.
Beliau juga didapati bersalah menulis manual bagaimana untuk mengancam dan mengugut wartawan Claudia Duque, yang cuba mengumpulkan bukti mengenai penglibatan DAS dalam pembunuhan Jaime Garzon, terutamanya bagi mengelakkan daripada didakwa. – Bernama, 15 Ogos, 2018.
Komen