Tuntutan China di Laut China Selatan adalah salah, kata Duterte


Presiden Filipina Rogdrigo Duterte menyifatkan tindakan China menuntut hak ruang udara di Laut China Selatan sebagai salah. – Gambar EPA, 15 Ogos, 2018.

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte menggesa China untuk ‘mengawal’ tindakannya di Laut China Selatan susulan program penambakan dan pembinaan bangunan di kawasan pertikaian itu.

Tindakan Beijing mencetuskan kemarahan negara-negara jiran termasuk Malaysia, Brunei, Taiwan dan Vietnam apabila negara berkuasa dunia itu menunjukkan dominasi di kebanyakan kawasan Laut China Selatan dengan membina pulau buatan dan pangkalan tentera udara.

Namun Duterte yang berminat untuk menarik pelaburan dan perdagangan dari China serta jarang mengeluarkan kritikan terhadap Beijing, mula berubah nada.

Duterte berkata, China tidak mempunyai hak untuk menuntut hak ruang udara di kawasan pulau buatan yang dibina oleh Beijing.

“Anda (China) tidak boleh membina pulau dan mendakwa ruang udara di pulau buatan itu sebagai milik anda.

“Tuntutan ini adalah salah kerana lokasi itu merupakan kawasan perairan antarabangsa dan penggunaan laluan laut di situ sepatutnya terjamin,” katanya menerusi satu kenyataan pihak kediaman presiden yang disiarkan hari ini.

Bagaimanapun kenyataan itu berkata, Duterte tidak mahu mencabar China.

Kerajaan Filipina sebelum ini mendakwa juruterbang tentera mereka berulang kali menerima amaran daripada China apabila pesawat mereka menghampiri pulau Thitu yang terletak berdekaatan pangkalan udara milik Beijing di kawasan Terumbu Reef.

Bagaimanapun Beijing tidak mengeluarkan sebarang komen balas berhubung kenyataan Duterte itu. – AFP, 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen