KEPUTUSAN Israel untuk membuka semula pengesan logam yang dipasang di pintu masuk Masjid Al-Aqsa adalah “langkah tepat, tetapi masih tidak mencukupi”, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
“Setiap hari, Israel cuba melakukan sesuatu untuk mengikis simbol Islam di Baitulmaqdis, dengan mengambil kesempatan terhadap kelemahan umat Islam sendiri,” katanya dalam satu majlis diskusi di Ankara, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).
“Kebanyakan negara akan senyap setiap kali isu itu melibatkan Palestin, Baitulmaqdis atau hak dan undang-undang melibatkan umat Islam.
“Amat menyedihkan apabila pemisahan dan bukannya penyatuan yang menjadi agenda dunia Islam, juga konflik yang dipilih dan bukannya keamanan,” katanya.
Israel menutup Masjid Al-Aqsa selama dua hari, dan apabila dibuka semula ia dilengkapi alat pengesan logam dan kamera pengawasan, perbuatan yang menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Rejim Zionis berkata pemasangan peralatan itu dibuat atas alasan keselamatan susulan kes tembakan pada 14 Julai lalu.
Bagaimanapun ia mengakibatkan konflik berdarah yang menyebabkan tiga rakyat Palestin terbunuh dalam rusuhan dengan anggota tentera Israel Jumaat lepas manakala tiga penduduk Yahudi di sebuah penempatan haram di Tebing Barat turut terbunuh dalam satu serangan.
Israel pada awalnya berkeras enggan menghentikan penggunaan alat pengesan logam di masjid suci umat Islam itu, selain mendakwa langkah keselamatan seumpama itu bukan perkara asing di tempat suci yang lain.
Bagaimanapun, berikutan bantahan dan tekanan antarabangsa, Kabinet Israel memutuskan untuk membuka semula semua alat pengesan logam itu dan menggantikannya dengan pengesan logam pegangan tangan.
Baitulmaqdis merupakan tapak suci bagi tiga agama, Islam, Yahudi dan Kristian.
Masjid Al-Aqsa, yang turut dikenali dengan nama Temple Mount di kalangan masyarakat Yahudi merupakan masjid suci ketiga bagi umat Islam. – Bernama, 27 Julai, 2017.
Komen