Saya hanya mempertahankan dasar saya, kata Najib


Melati A. Jalil

BEKAS presiden Umno Najib Razak tidak menganggap kenyataan yang sering dikeluarkan berhubung isu negara sebagai campur tangan terhadap kepimpinan baharu parti itu.

Beliau berkata, presiden baharu Umno Ahmad Zahid Hamidi bebas untuk membuat keputusan dalam sebarang hal yang berkaitan dengan parti itu termasuk pemilihan calon bagi pilihan raya dan lantikan ahli dalam parti.

“Namun saya juga berhak untuk mempertahankan dasar saya dan berhak mengenepikan sebarang tanggapan salah serta manipulasi fakta dan angka yang disebut oleh kerajaan baharu.

“Saya fikir untuk berlaku adil, ia merupakan tindakan mempertahankan diri dan hak yang diberikan kepada setiap individu serta rakyat. Sebab itu saya mempraktikan hak saya bagi menjelaskan dasar dan menyatakan sebab kita (kerajaan lama) melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini sebagai mengulas kenyataan bekas majlis tertinggi Umno Nazri Abdul Aziz yang menasihati Najib supaya menjauhkan diri daripada parti yang kini dipimpin oleh Zahid.

Hari ini, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin turut menyokong kenyataan Nazri, sekali gus mendesak Najib untuk berbuat perkara yang sama.

Najib yang merupakan ahli Parlimen Pekan, berkata beliau menyokong Zahid sebagai presiden dan sedia memberi kerjasama penuh kepada pucuk kepimpinan parti.
 
“Saya juga merupakan ahli Parlimen dan akan mengambil peluang untuk bercakap di Parlimen kerana ia merupakan tugas saya. Saya telah dipilih oleh rakyat.

“Bagi mengelakkan kebimbangan pimpinan Umno, mereka bebas untuk melaksanakan perkara yang dirasakan betul dan saya akan menyokong sebarang keputusan pucuk pimpinan baharu Umno,” katanya. 

Sejak kehilangan kuasa, Najib lantang mengeluarkan kritikan terhadap kerajaan baharu menerusi laman Facebook.

Antara kritikan yang dilemparkan termasuk pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan, penangguhan projek-projek besar seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Najib berkata beliau berhak untuk mempertahankan diri dan kerajaan yang dipimpinnya sebelum ini.

“Saya akan menggunakan hak itu untuk memberi penjelasan tentang dasar kerajaan terdahulu. Terutamanya apabila berlaku manipulasi fakta,” katanya sambil mmemberi contoh jumlah hutang negara dan isu kekurangan duit bayaran balik GST sebanyak RM19 bilion yang dibangkitkan oleh kerajaan baharu.

Najib berdepan tujuh dakwaan berhubung skandal SRC Internatiol yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Tiga tuduhan melibatkan kes pecah amanah, tiga lagi dakwaan berkait dengan penggubahan wang haram dan satu kes penyalahgunaan kuasa.

Walaupun Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno susulan kekalahan mengejut BN pada PRU14, beliau masih aktif di dalam parti dan berkempen untuk calon parti tersebut termasuk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Tindakan itu dianggap sebagai satu kesilapan oleh sesetengah pemimpin parti Umno tetapi Najib menegaskan beliau tidak berniat untuk berkempen dan hanya memenuhi permintaan calon BN Lokman Noor Adam.

“Saya tidak mahu berkempen tetapi menerima jemputan.

“Atas sebab itu dan sokongan yang ditunjukkannya, saya mengambil keputusan untuk turun berkempen walaupun ia bukan perancangan asal saya,” katanya.  – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen