INSIDEN rempuhan kereta di luar bangunan Parlimen Britan kini disiasat sebagai kes serangan pengganas.
Ia susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun di lokasi kejadian selepas suspek enggan memberi kerjasama.
Lelaki berkenaan kini ditahan di sebuah balai polis di London untuk siasatan lanjut selepas disyaki merancang mahu melancarkan serangan pengganas. Tiga pejalan kaki dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Identiti suspek bagaimanapun masih belum didedahkan.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Sajid Javid meminta orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan, lebih-lebih lagi selepas pihak polis menyerbu tiga kediaman di tengah England.
Tahun lalu, lima orang terbunuh dan 50 lagi cedera apabila sebuah kereta merempuh pejalan kaki dalam serangan pengganas di luar bangunan Parlimen.
Serangan itu didalangi oleh rakyat tempatan, Khalid Masood yang turut menikam mati seorang anggota polis sebelum ditembak mati oleh pihak keselamatan. – AFP, 15 Ogos, 2018.
Komen