PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencetuskan kontroversi terbaru apabila menggelar bekas pembantunya di Rumah Putih, Omarosa Manigault Newman sebagai ‘anjing’ dan ‘gila’.
Manigault Newman yang menjadi terkenal menerusi program realiti televisyen The Apprentice, sebelum ini membangkitkan kemarahan Trump apabila wanita itu menyiarkan rakaman perbualan telefon di Rumah Putih termasuk milik presiden.
Antara rakaman yang disiarkan termasuk ketika Manigault dipecat oleh ketua staf John Kelly yang dipercayai dirakam di Bilik Situasi Rumah Putih.
Kemudian Manigault menerbitkan buku yang menceritakan pengalamannya sepanjang berkhidmat bersama Trump dan buku bertajuk The Donald itu mendapat sambutan hangat di seluruh negara.
Dalam buku itu, Manigault melabel Trump sebagai bersifat perkauman dan pembohong, sekali gus mencetuskan kekecohan di Rumah Putih dan mengheret presiden ke dalam krisis baharu.
Trump sebelum ini melabel Manigault sebagai berfikiran cetek dan kurang ajar apabila mendedahkan rakaman perbualan mereka berdua selepas pemecatan bekas pembantunya itu.
Namun hari ini, Trump sekali lagi menghamburkan kata makian terhadap Manigault menerusi kenyataan dalam Twitter.
While I know it’s “not presidential” to take on a lowlife like Omarosa, and while I would rather not be doing so, this is a modern day form of communication and I know the Fake News Media will be working overtime to make even Wacky Omarosa look legitimate as possible. Sorry!
— Donald J. Trump (@realDonaldTrump) August 13, 2018
“Apabila anda memberi peluang kepada orang gila dan berfikiran cetek untuk bekerja di Rumah Putih. Saya fikir ia tidak akan berkesan. Tindakan yang baik oleh Jeneral Kelly kerana memecat anjing itu.”
Kenyataan terbaru Trump itu bagaimanapun mengundang banyak kritikan termasuk daripada anggota partinya sendiri.
“Bahasa yang digunakan oleh Presiden AS adalah amat tidak sesuai. Tidak boleh dimaafkan dan Parti Republikan tidak bersetuju,” kata Senator Republikan Jeff Flake. – AFP, 15 Ogos, 2018.
Komen