SEORANG bakal anggota kongres wanita Mexico diculik dengan ugutan menggunakan pistol semalam, kata pegawai, dalam satu insiden keganasan terbaru susulan pilihan raya paling ganas bagi negara itu pada 1 Julai lalu.
Azucena Rodriguez Zamora, yang dipilih ke dewan rakyat Kongres untuk negeri timur Veracruz, sedang memandu di sebuah lebuh raya di Hidalgo apabila sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah kereta lain menembak ke arah kenderaannya, kata sumber polis.
Kereta itu kemudian terbalik, menyebabkan dua orang lain yang bersama Rodriguez, cedera.
Lelaki bersenjata itu kemudian menarik Rodriguez keluar dari kereta itu dan menculiknya, kata sumber itu.
Ia kejadian penculikan kedua di Hidalgo dalam tempoh beberapa hari terakhir ini.
Pada 6 Ogos, datuk bandar Naupan, di Puebla ditemui mati selepas diculik dengan ugutan pistol di lebuh raya Hidalgo.
Sekurang-kurangnya 152 ahli politik di bunuh menjelang pilihan raya Mexico, menurut syarikat perunding Etellekt.
Pembunuhan itu – kebanyakannya membabitkan ahli politik peringkat tempatan, menjadi sasaran kartel dadah yang berkuasa di Mexxico – dicatatkan berlaku sejak September lalu, ketika pendaftaran calon mula dibuka, dan hari mengundi.
Setakat ini, ia pilihan raya paling ganas pernah direkodkan di Mexico.
Negara itu juga mencatatkan jumlah pembunuhan di seluruh negara sebanyak 28,711 pada tahun lalu.
Dan jumlahnya dijangka bertambah tahun ini.
Mexico dilanda keganasan sejak kerajaan mengerahkan tentera memerangi pengedaran dadah pada 2006. Sejak itu, lebih 200,000 orang dibunuh sementara 30,000 lagi masih hilang. – AFP, 15 Ogos, 2018.
Komen