SERAMAI 24 penumpang maut, manakala 22 lagi cedera selepas bas yang membawa penumpang warga Colombia dan Venezuela merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna lalu terbalik di Ecuador, awal pagi semalam.
Pihak berkuasa berkata Kedutaan Venezuela dan Colombia sudah dimaklumkan mengenai insiden membabitkan warga negara masing-masing.
“Kebanyakan mangsa adalah rakyat Colombia,” kata setiausaha keselamatan Quito, Juan Zapata.
Pihak berkuasa berkata ketika kejadian, bas yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan asing itu, sedang menuruni lebuh raya di 30km di timur Quito.
“Bas berkenaan melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna lalu terbalik, sebelum merempuh tiga rumah di bahu jalan,” katanya.
Ketua jawatankuasa operasi kecemasan Quito, Christian Rivera berkata turut terkorban ialah tiga warga Ecuador yang menaiki kenderaan pelbagai guna terbabit dan tiga kanak-kanak.
“Kami sedang berusaha mengesahkan identiti mangsa terkorban sebahagian besarnya warga Colombia dan Venezuela.
“Pasukan kecemasan dihantar ke lokasi insiden untuk membantu operasi menyelamat,” kata Rivera di Twitter. – AFP, 15 Ogos, 2018.
Komen