Pertikaian royalti minyak di Sarawak jejas 100 hari pertama Pakatan


Desmond Davidson

Pakatan Harapan dikatakan menetapkan standard terlalu tinggi dalam memenuhi janji manifestonya dalam tempoh 100 hari pertama berkuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Ogos, 2018.

BAGI rakyat Sarawak, Pakatan Harapan (PH) yang dilihat seperti kurang komitmen untuk memenuhi tuntutan royalti minyak dan peruntukan lain di bawah Perjanjian Malaysia 1963 menentukan 100 hari pertama gabungan itu memegang kuasa.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kegagalan PH menaikkan royalti minyak negeri itu daripada 5% hingga 20% adalah yang “paling ketara”.

“PH berjanji bahawa peruntukan itu akan dipenuhi dalam tempoh 100 hari. Sebaliknya, pemimpin PH memutar belit dan menukar isu itu, dengan pemimpin yang berbeza memberikan interpretasi berlainan terhadap peruntukan itu,” katanya yang juga menteri pelancongan, seni, budaya, belia dan sukan negeri.

Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan PH berbalah tentang bagaimana royalti minyak perlu dikira. Putrajaya berkata royalti itu perlu dikira daripada keuntungan bersih terhadap minyak dan gas yang diambil di Sarawak.

Kerajaan negeri pula bertegas mahu ia dikira daripada pendapatannya seperti yang biasa diamalkan dalam industri minyak dan gas.

Ketua Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kho Teck Wan berkata wakil rakat PH Sarawak gagal bercakap tentang perkara itu.

“Mereka sepatutnya beri hanya satu keutamaan iaitu mewakili Sarawak dalam memperjuangkan kepentingannya, bukan hanya ketika 100 hari ini tetapi sepanjang kerjaya politik mereka,” kata Kho.

Katanya, daripada berjuang untuk rakyat Sarawak, ahli Parlimen PH bertindak sebagai “ejen kerajaan persekutuan untuk berunding dengan kerajaan negeri”.

Bagaimanapun, beliau menyedari janji 10 manifesto PH ditetapkan pada “standard yang sangat tinggi” di mana beliau tidak menjangkakan gabungan itu dapat memenuhinya dalam tempoh 100 hari.

“PH terlalu bercita-cita tinggi dan menetapkan sasaran terlalu tinggi untuk janji 100 hari mereka. Saya tidak menjangkakan mereka akan memenuhi janji itu. Jadi, saya fikir pencapaian mereka seperti yang saya jangka,” katanya.

Presiden Rise of Sarawak Efforts (Rose) Anne CJ Teo berkata perasaan positif dan keterujaan daripada perubahan kerajaan sudah mula pudar.

“Ini masanya untuk cemas dan bagi sesetengah pihak, ia satu perasaan tentang bagaimana berbezanya mereka daripada kerajaan terdahulu?,” katanya.

Beliau berkata tidak ada apa-apa lagi tentang penguatkuasaan daripada jawatankuasa khas Kabinet tentang MA63 sejak ia ditubuhkan bulan lalu.

“Siapa ahli jawatankuasa khas itu yang sepatutnya mengeluarkan laporan dalam tempoh enam bulan?”

PH perlu menunjukkan bahawa pandangan rakyat Sarawak penting dan ia menangani isu tempatan.

Jika dilihat pada pandangan positif, Teo memuji kerajaan sekarang “lebih responsif” kepada masyarakat sivil dan pengaruh sosial yang membenarkan “ruang luas untuk perbincangan”.

“Ini sangat menggembirakan kerana bagi kali pertama dalam sejarah politik kita, rakyat dapat menggunakan hal sivil mereka dan merujuk kepada satu manifesto pilihan raya yang tidak seperti sebelumnya.”

Teo berkata beliau percaya jalan PH masih panjang tetapi berharap ia akan bertambah baik untuk menjadi kerajaan yang lebih efektif.

“Kita tidak boleh kata mereka gagal atau berjaya. Kita perlu terus berharap bahawa mereka akan melakukan perkara dengan betul dan mentadbir dengan baik.

“Secara efektifnya kita masih dalam tempoh peralihan dan masih belum mencapai Malaysia Baharu yang kita inginkan.” – 15 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen