PULUHAN penduduk termasuk kanak-kanak memenuhi hospital di Aceh bagi mendapatkan rawatan jangkitan paru-paru berikutan asap tebal disebabkan kebakaran hutan.
Beberapa sekolah terpaksa ditutup tetapi sebahagian kanak-kanak masih ke sekolah semalam dengan memakai topeng.
Sejak minggu lalu, kira-kira 35 kawasan kebakaran memusnahkan 70 hektar hutan di Aceh, kata agensi bencana kebangsaan.
“Tindakan petani membersihkan ladang dengan cara membakar menyebabkan kebakaran merebak,” kata jurucakap agensi itu, Sutopo Purno Nughoro.
Penduduk dinasihatkan memantau ladang mereka dan tidak membakarnya terutama ketika musim kemarau kerana api akan marak dengan lebih cepat.
Pihak berkuasa memberi amaran kebakaran hutan akibat kemarau mungkin berterusan selama beberapa bulan.
Jerebu menjadi masalah tahunan di Indonesia akibat kebakaran hutan apabila pemilik ladang membersihkan tanah mereka untuk penanaman kelapa sawit.
Asap kebakaran hutan di Sumatera yang dibawa angin biasanya menyebabkan negara jiran seperti Singapura dan Malaysia berjerebu. – AFP, 27 Julai, 2017.
Komen