Pelancong maut terkena rotor helikopter di Nepal


Helikopter digunakan secara meluas di Nepal berikutan akses jalan rayanya yang terhad. – Gambar Youtube, 14 Ogos, 2018

SEORANG pelancong dari India terbunuh selepas terkena rotor ekor helikopter di sebuah pad pendaratan berhampiran sempadan China, menurut pihak berkuasa. 

Lelaki berusia 42 tahun itu menaiki helikopter dari Hilsa yang merupakan kawasan popular penziarah di kejiranan Tibet ketika kejadian itu berlaku. 

“Mangsa terkena bilah rotor itu di bahagian kepala selepas keluar dari helikopter berkenaan dan mati di tempat kejadian,” kata ketua polis daerah Gahendra Bahadur Bogati. 

Industri helikopter amat pesat di Nepal, yang mana ia digunakan untuk menerbangkan pelancong ke kawasan terpencil di negara Himalaya itu berikutan akses jalan rayanya yang sangat terhad.

Namun negara berkenaan memiliki rekod keselamatan udara yang kurang baik berikutan kakitangannya tidak terlatih serta kurangnya penyelenggaraan.

Juruterbang helikopter menyifatkan standard keselamatan di pad pendaratan Hilsa sebagai “kosong”.

“Terdapat perkara yang tidak selamat di sana, terutamanya kawalan kepadatan di pad pendaratan,” kata seorang juruterbang kepada AFP yang enggan dinamakan. – AFP, 14 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen