KIRA-KIRA 20 orang terbunuh di negeri Himachal Pradesh yang terletak di utara India dalam tempoh 24 jam susulan insiden tanah runtuh akibat hujan lebat sejak beberapa hari lepas, lapor agensi berita China Xinhua.
Sebagai langkah berjaga-jaga, semua sekolah, institusi pendidikan dan jalan utama di negeri berbukit bukau itu telah dilaporkan ditutup pada Selasa.
Beratus-ratus orang, termasuk sejumlah pelancong, telah terkandas di beberapa bahagian di negeri itu.
Hujan lebat diramalkan melanda dalam tempoh beberapa hari berikutnya.
Empat anggota satu keluarga telah terbunuh dalam insiden tanah runtuh di Kandaghat dalam daerah Solan, lapor New Delhi Television (NDTV) memetik kenyataan pegawai kerajaan negeri.
Seorang budak lelaki telah dihanyutkan di Sungai Kaushalya berhampiran Parwanoo manakala lapan orang maut dalam beberapa insiden yang disebabkan oleh hujan di daerah sama.
Tanah runtuh telah meragut tiga nyawa di daerah Mandi manakala lalu lintas terganggu selama beberapa jam di lebuhraya Chandigarh-Shimla, Shimla-Nahan, Chamba-Pathankot dan Mandi-Pathankot.
Seorang pegawai kanan berkata sejumlah 923 jalan ditutup susulan insiden tanah runtuh, termasuk enam lebuh raya nasional dan pihaknya sedang berusaha membuka jalan untuk lalu lintas secepat mungkin.
Pekan Baijnath dalam daerah Kangra mencatat rekod hujan berjumlah 235 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam lepas, manakala pekan Palampur merekodkan jumlah hujan sebanyak 212 mm. – Bernama, 14 Ogos, 2018.
Komen