Penasihat keselamatan AS jumpa duta Turki di Rumah Putih


Pertemuan antara Penasihat Keselamatan Negara AS John Bolton dengan Duta Turki ke AS, Serdar Kilic adalah untuk mencari penyelesaian berhubung kes penahanan seorang paderi yang didakwa terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2018.

PENASIHAT Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) John Bolton telah bertemu Duta Turki ke AS, Serdar Kilic, bagi mencari penyelesaian berhubung kes penahanan seorang paderi yang didakwa terlibat dalam percubaan menggulingkan kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada 2016, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders, menyebut Bolton bertemu Kilic di Rumah Putih atas permintaan Duta Turki itu.

“Mereka membincangkan isu penahanan berterusan paderi AS, Andrew Brunson, dan keadaan hubungan AS-Turki,” menurut kenyataan itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Kenyataan itu dibuat ketika kedua-dua negara bertelingkah mengenai isu Brunson, yang diletak di bawah tahanan rumah sejak bulan lepas.

Jika didapati bersalah, Brunson berdepan hukuman penjara 25 tahun.

Presiden AS Donald Trump pada Jumaat menciap bahawa beliau telah mengeluarkan arahan agar tarif ke atas keluli dan aluminium yang diimport dari Turki masing-masing digandakan sebanyak 50 peratus dan 20 peratus.

AS turut mengenakan sekatan terhadap dua menteri Turki berhubung kes sama pada Ogos.    

Sebagai respons, menteri luar Turki berikrar untuk membalas tindakan agresif AS dalam kes Brunson dengan segera dan menggesa Washington mengubah keputusannya. – Bernama, 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen