.jpg)
SAYA telah membaca kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pagi tadi berkenaan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meluluskan permohonan kerakyatan bertaraf warganegara kepada 3,407 pemohon dari masyarakat India yang berstatus pemastautin tetap berusia 60 tahun ke atas.
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan PH di atas tindakan ini, namun suka saya ingatkan di sini bahawa usaha untuk mengenal pasti dan mendaftarkan 3,407 pemohon ini adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional sebelum ini melalui Program MyDaftar.
Sebelum Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), ramai pemimpin dari PH telah membuat pelbagai kenyataan dan tuduhan terhadap perkara ini.
Misalnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) P Waythamoorthy pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hampir 300,000 orang dari masyarakat India di Malaysia tidak diberi taraf kewarganegaraan manakala selepas PRU14, Menteri Tenaga Manusia M Kulasegaran pula pernah menyatakan bahawa bilangan tersebut hanya berjumlah 30,000.
Maka sebaiknya saya berharap kerajaan PH fokus kepada usaha untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah kewarganegaraan baki 296,593 pemohon daripada 300,000 pemohon itu seperti yang didakwa oleh mereka sebelum ini dalam tempoh waktu 100 hari pertama pentadbiran PH. – 14 Ogos, 2018.
* Sivarraajh Chandranahli adalah ahli Parlimen Cameron Highlands.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen