24 cedera dalam dua kejadian gempa bumi di Yunnan


Seorang lelaki berdiri berhampiran sebuah runtuhan rumah akibat gempa bumi di wilayah Yunnan, China.– Gambar EPA, 14 Ogos, 2018.

SEJUMLAH 24 orang cedera dalam dua insiden gempa bumi bermagnitud 5.0 yang menggegar Wilayah Yunnan di barat daya China pada awal pagi Isnin dan Selasa, lapor agensi berita Xinhua.

Pusat gempa terbaharu, dengan kedalaman 6 kilometer, telah dipantau di Perbandaran Sijie, Tonghai County, pada pukul 3.50 pagi Selasa, menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.

Sebelum itu, Perbandaran Sijie dilanda gempa bumi pada pukul 1.44 pagi Isnin.

Menjelang tengah hari Selasa, hampir 70,000 penduduk telah terjejas susulan kedua-dua insiden gempa bumi, menurut jabatan hal ehwal awam wilayah itu. 

Lebih 33,000 penduduk telah dipindahkan ke kawasan selamat. 

Insiden gempa bumi itu turut memusnahkan lebih 8,000 rumah di kawasan tersebut.

“Kami telah berada di pusat perlindungan sejak Isnin kerana kami khuatir akan berlaku lebih banyak gempa bumi. Pada sebelah pagi, gegaran gempa bumi baharu amat kuat sehingga kami semua terjaga,” kami Zhu Feng, seorang penduduk yang ditempatkan di sebuah pusat perlindungan kerajaan di Tonghai County.

Pentadbiran gempa bumi wilayah telah melancarkan satu respons kecemasan pada Isnin. 

Pasukan penyiasat ditubuhkan dan telah dihantar ke kawasan terjejas.

Jabatan hal ehwal awam wilayah telah menghantar bantuan seperti khemah, katil boleh lipat, tilam dan bantal serta makanan kepada penduduk yang terjejas. – Bernama, 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen