KAEDAH pemercikan air membantu merendahkan suhu permukaan jalan sehingga 5.3 darjah Celsius berbanding suhu udara yang lebih panas dalam satu eksperimen menggunakan laluan pejalan kaki di pusat bandar Tokyo pada Isnin.
Eksperimen itu adalah sebahagian usaha bagi mencegah penonton Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 mengalami strok haba berikutan cuaca panas yang melampau, lapor Jiji Press memetik kenyataan kerajaan metropolitan.
Dalam eksperimen itu, hos pemercik dipasang di seksyen laluan pejalan kaki sepanjang 120 meter menghadap sebatang jalan yang akan digunakan bagi acara perlumbaan dan maraton semasa Sukan Olimpik Tokyo.
Suhu udara di lokasi di mana air tidak dipercik mencecah 34.9 darjah Celsius pada pukul 10 pagi manakala suhu permukaan jalan mencecah 32 darjah Celsius.
Lokasi di mana air dipercik pula menyaksikan suhu udara dari 33.2 hingga 33.3 darjah Celsius manakala suhu permukaan jalan dari 28 hingga 29 darjah Celsius.
Suhu permukaan jalan di lokasi di mana air mula dipercik pada pukul 4 pagi mencecah 29 darjah Celsius pada pukul 9 pagi berbanding suhu udara yang mencecah 34.3 darjah Celsius.
Kerajaan metropolitan akan meneliti keputusan itu untuk mempertimbang sama ada memperkenal kaedah pemercikan air atau sebaliknya. – Bernama, 14 Ogos, 2018.
Komen