Facebook kini ada 2.01 bilion pengguna, raih untung AS$3.9 bilion


Facebook kini mempunyai 2.01 bilion pengguna, dengan keuntungan bersih AS$3.9 bilion. – Gambar EPA, 27 Julai, 2017.

FACEBOOK melaporkan keuntungan mendadak suku lepas, didorong pertumbuhan kukuh dalam sektor iklan kepada lebih dua bilion penggunannya.

Keuntungan bersih suku kedua tahun ini melonjak kepada 71 peratus bernilai AS$3.9 bilion berbanding tahun lepas sementara pendapatan syarikat itu melonjak kepada 45 peratus dengan nilai AS$9.3 bilion.

Saham Facebook pula melonjak kepada 3.4 peratus dengan nilai AS$171.35 selepas pasaran ditutup, lebih tinggi berbanding jangkaan.

“Suku tahun kedua dan enam bulan pertama kami tahun ini baik,” kata pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

Jumlah mereka yang menggunakan Facebook sekurang-kurangnya sekali sebulan ialah 2.01 bilion pada penghujung Jun, meningkat 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Majoriti pendapatan Facebook diperolehi daripada pengiklanan, dan 87 peratus daripada jumlah itu datang daripada iklan yang ditujukan kepada mereka yang menggunakan alatan mudah alih.

Perbelanjaan Facebook pula meningkat kepada 33 peratus bernilai AS$4.9 bilion ketika syarikat gergasi Lembah Silikon itu terus melabur dalam platform dan inovasi barunya.

Walaupun perkembangan pesat itu berlaku, Facebook turut melabur dalam teknologi baru ketika ia mempelbagaikan cabang perniagaannya termasuklah aplikasi Messenger, WhatsApp dan Oculus.

Laporan terbaru menyebut yang Facebook sedang berusaha membangunkan pembesar suaranya sendiri untuk bersaing dengan Google Home dan Amazon Echo bagi meraih tempat dalam persaingan pasaran peralatan digital rumah.

Facebook juga dikatakan sedang membangunkan telefon bimbitnya sendiri, menurut kertas kerja yang difailkan syarikat itu awal tahun ini.

Facebook juga banyak melabur dalam pembangunan kepintaran tiruan (AI), dan Zuckerberg mempertahankan pendiriannya yang teknologi ini akan meningkatkan kualiti kehidupan manusia walaupun wujud kebimbangan disuarakan seorang lagi tokoh dalam bidang itu, Elon Musk.

Walaupun begitu, eksekutif Facebook memberikan amaran yang pertumbuhan pendapatan itu dijangka akan terbantut apabila rangkaian sosial utama dunia itu semakin kekurangan ruang untuk pengiklanan dan perubahan dinamik mekanisme menjana pendapatan untuk Messenger, WhatsApp dan tontonan video di rangkaian sosial itu.

“Kita perlu menguruskan video dengan baik,” kata Zuckerberg.

“Ia akan menjadi penggerak perniagaan yang lebih utama dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi berbanding Messenger.”

Laporan terbaru itu turut menunjukkan yang Facebook kini mempunyai pegangan tunai sebanyak AS$35.5 bilion pada hujung suku kedua tahun ini, dan jumlah pekerjanya meningkat sebanyak 43 peratus berbanding tahun lepas kepada 20,658 pekerja pada hujung Jun. – AFP, 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen