Taliban tawan pangkalan tentera Afghanistan


Rakaman video AFPTV pada 10 Ogos 2018 menunjukkan asap tebal menyelubungi udara selepas militan Taliban melancarkan serangan di Ghazni. – Gambar AFP, 14 Ogos, 2018.

SEKURANG-kurangnya 14 askar terbunuh dan puluhan lagi dipercayai dtangkap musuh apabila sebuah pangkalan tentera Afghanistan diserang dan ditawan oleh pejuang Taliban hari ini.

Serangan itu berlaku di pangkalan dekat daerah Ghormach, wilayah Faryab di utara Afghanistan selepas pertempuran sengit antara pihak tentera dan militan Taliban sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap tentera Mohammad Hanif Rezaee berkata seramai 100 askar berada di pangkalan tersebut ketika serangan bermula pada Ahad lalu.

“Serangan ini merupakan satu tragedi kerana pangkalan tentera jatuh ke tangan pihak musuh. Ada tentera yang terkorban, ditangkap dan melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran,” katanya.

Serangan ke atas Faryab berlaku beberapa hari selepas Taliban menyerang bandar Ghazni di tenggara Afghanistan pada Khamis lalu.

Sementara itu, ketua majlis wilayah Faryab Tahir Rehmani berkata pangkalan tentera itu ditawan kerana gagal mendapatkan bantuan tambahan dan serangan udara dari Kabul.

“Mereka (tentera Afghanistan) terlalu sibuk bertempur di Ghazni,” katanya. – AFP, 14 Ogos, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen