Usah teragak-agak, haramkan perkahwinan kanak-kanak segera, kata Ambiga


Ambiga Sreenevasan mendesak kerajaan membuat pendirian jelas terhadap perkahwinan kanak-kanak semasa forum 100 hari Pakatan Harapan di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA tidak sepatutnya berdolak-dalih mengenai perkahwinan kanak-kanak, dan harus mengharamkannya, kata Ambiga Sreenevasan.

Peguam hak asasi manusia itu berkata kerajaan mesti membuat pendirian jelas terhadap perkahwinan kanak-kanak.

“Saya malu yang kanak-kanak itu perlu pulang ke Thailand untuk mendapatkan keadilan kerana kita gagal melakukannya,” kata Ambiga di forum 100 hari Pakatan Harapan.

Forum itu diadakan bersempena dengan Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia yang dianjurkan Majlis Peguam Malaysia hari ini.

Komennya datang selepas kes perkahwinan gadis berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 43 tahun dari Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata kerajaan sudah mengambil tindakan bagi mencegah perkahwinan kanak-kanak.

“Kami memperkenalkan prosedur operasi piawai khas bagi perkahwinan kanak-kanak, yang menjadikan perkahwinan kanak-kank ketat dan sukar,” katanya.

Fuziah berkata ia terhalang oleh pemikiran hakim syariah.

“Ia bukan sekadar mengubah undang-undang, kita perlu mengubah minda dan budaya,” katanya.

Ambiga bagaimanapun tidak bersetuju dengan timbalan menteri bahawa hakim syariah menghalang kerajaan daripada mencegah perkahwinan kanak-kanak.

“Kita mempunyai Akta Kesalahan Seksual TerhadapKanak-Kanak. Ia bukan tentang mengubah minda, ia mengenai menguatkuasakan undang-undang,” kata Ambiga.

Ambiga juga kritikal terhadap kegagalan kerajaan memansuhkan undang-undang yang dikatakannya menindas dan kerajaan sudah berjanji untuk memansuhkannya dalam manifesto mereka.

“Akta Hasutan, Seksyen 233 SKMM, ia semua tidaklah sukar. Tuan peguam negara, saya menggesa anda supaya mengadakan moratorium terhadap semua kes di bawah Akta Hasutan, hukuman mati, dan di bawah Seksyen 233 SKMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998),” katanya.

Beliau berkata jika kerajaan komited untuk memansuhkan undang-undang ini, ia tidak masuk akal untuk membolehkan siasatan diteruskan di bawah undang-undang ini. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen