Netanyahu desak penutupan Al-Jazeera di Jerusalem


Ketegangan memuncak di Jerusalem selepas serangan yang membunuh dua anggota polis Israel. – Gambar AFP, 27 Julai, 2017.

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu mahu mengusir Al-Jazeera dari Israel susulan ketegangan yang melanda Jerusalem.

“Saluran Al-Jazeera terus mencetuskan keganasan di sekitar Temple Mount,” tulis Netanyahu di Facebook, merujuk kepada kawasan Haram al-Sharif di Jerusalem yang dipanggil Yahudi sebagai Temple Mount.

“Saya pernah merayu kepada agensi penguatkuasaan undang-undang beberapa kali supaya menutup pejabat Al-Jazeera di Jerusalem. Sekiranya ia tidak boleh dilakukan kerana tafsiran undang-undang, saya akan mencari cara mewujudkan perundangan yang diperlukan untuk mengusir Al-Jazeera dari Israel,”

Israel seringkali menuduh Al-Jazeera bias dalam liputan konflik Israel-Palestin.

Bantahan besar-besaran dan kematian beberapa orang berlaku sejak beberapa hari lepas apabila alat keselamatan baru diletakkan di tapak suci itu.

Ketegangan masih terasa antara Israel dan orang Islam di Jerusalem walaupun alat pengesan keselamatan itu sudah dibuang, dan wujud kebimbangan yang situasi itu boleh mencetuskan huru hara.

Orang Islam enggan memasuki tapak itu dan bersolat di sekitar jalan kawasan itu sejak Israel memasang alat keselamatan baru itu seminggu yang lalu.

Pemasangan alat itu dilakukan susulan serangan yang membunuh dua anggota polis pada 14 Julai lalu.

Kenyataan Netanyahu senada dengan desakan beberapa negara Teluk yang mendesak penutupan Al-Jazeera.

Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir memutuskan ikatan dengan Qatar pada 5 Jun, menuduh negara kecil kaya minyak itu menyokong pengganas sebelum mengeluarkan 13 tuntutan termasuklah penutupan Al-Jazeera.

Netanyahu kini sedang berusaha membaiki hubungan dengan negara lain rantau itu, selepas Israel seringkali dikecam hebat kerana penaklukan yang dilakukannya di kawasan Palestin sejak 50 tahun lalu.

Hanya Mesir dan Jordan yang mempunyai treati keamanan dengan Israel.

Perdana menteri itu juga menerima kritikan hebat daripada rakyat Israel sendiri selepas memutuskan untuk memasang pengesan logam di kawasan yang sangat sensitif itu, ramai yang menyifatkannya sebagai tindakan yang silap. – AFP, 27 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen