CEO MDEC kembali bekerja selepas siasatan rasuah


Tan Wan-Peng Melati A. Jalil

CEO MMDEC Yasmin Mahmood Beliau kembali bertugas selepas enam minggu bercuti secara sukarela bagi membolehkan siasatan rasuah berhubung projek ADAX dijalankan. – Gambar MDEC, 14 Ogos, 2018.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Yasmin Mahmood kembali bekerja hari ini selepas bercuti secara sukarela berhubung siasatan rasuah projek Asean Data Analytics (ADAX) dengan agensi itu.

Difahamkan Yasmin, yang bercuti selama enam minggu, dibebaskan daripada sebarang salah laku berkaitan peranan MDEC sebagai rakan kongsi projek ADAX - Pusat Sains Data Gunaan (CADS) bagi menghasilkan profesional data untuk negara.

ADAX diluluskan oleh kerajaan pada 2016 dengan pembiayaan sebanyak AS$37.7 juta (RM150 juta) bagi tempoh empat tahun.

Hari ini, Yasmin memberitahu The Malaysian Insight: “Saya boleh mengesahkan yang saya sudah kembali selepas tidak hadir selama enam minggu.”

“Saya hanya mahu memberi tumpuan 100% bekerja dengan kementerian, industri dan pihak berkepentingan untuk memastikan agenda ekonomi digital kami berterusan.”

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengarahkan siasatan ke atas projek ADAX bulan lepas berhubung dakwaan wujudnya konflik kepentingan antara pengurus program dan penyedia latihan.

Gobind hari ini tidak mengulas secara langsung mengenai kepulangan Yasmin sebagai CEO MDEC tetapi berkata beliau baru sahaja menerima laporan mengenai kes ADAX dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas mengkajinya.

“Saya baru menerima laporan hari ini. Silakan periksa dengan MDEC kerana setahu saya, sementara sesi Parlimen berlangsung, saya meminta mereka menyampaikan keputusan itu (kepada) saya dan saya menunggu (untuk melihat) laporan,” katanya kepada The Malaysian Insight di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai status siasatan ADAX, Gobind berkata beliau percaya butiran tersebut juga akan dilaporkan.

“Beri saya melihatnya dahulu kerana saya belum melihatnya lagi. Saya hanya mengetahui perkara ini daripada pemberita kerana mereka bertanya kepada saya.”

ADAX adalah usaha sama agensi awam-swasta antara MDEC dan CADS adalah projek bursa data fizikal pertama di dunia.

Pada majlis pelancarannya 28 Mac tahun lepas, Ketua Pegawai Eksekutif ADAX Sharala Axryd berkata matlamatnya adalah untuk menghasilkan 20,000 profesional data menjelang 2020, di mana 10% akan menjadi saintis data.

Yasmin, yang menyertai MDEC pada September 2014, baru-baru ini dinamakan sebagai 100 orang paling berpengaruh dalam kerajaan digital oleh laman web Apolitical. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen