RIBUAN penduduk Yaman meluahkan rasa marah terhadap Riyadh dan Washington, semalam ketika menghadiri majlis pengebumian kanak-kanak yang menjadi mangsa serangan udara tentera pakatan diketuai oleh Arab Saudi.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak antara penumpang bas yang terkorban dalam satu serangan udara di pasar yang padat dengan pengunjung di Dahyan, Saada, pada Khamis.
Stesen televisyen Al-Masirah milik pemberontak menyiarkan majlis pengebumian beramai-ramai itu, yang diadakan di Saada, iaitu kubu kuat pemberontak Houthi yang disokong Iran.
Kira-kira 50 kenderaan digunakan untuk membawa keranda ke kawasan dataran di tengah bandar raya itu.
Semua keranda dilitupi kain hijau dan potret mangsa disusun di dataran, degan doa dibacakan oleh ahli keluarga serta orang ramai yang hadir.
Orang ramai turut melaungkan slogan bantahan terhadap Arab Saudi dan sekutunya, serta pembekal utama senjata kepada tentera pakatan, iaitu Amerika Syarikat.
“Amerika (Syarikat) bunuh kanak-kanak Yaman,” antara kata-kata yang tertera pada kain rentang.
Kementerian Kesihatan Houthi berkata, 51 maut dalam serangan itu termasuk 40 kanak-kanak, manakala 79 lagi cedera dan 56 daripadanya kanak-kanak. – AFP, 14 Ogos, 2018.
Komen